MOHD Rizuan (kiri) menjadi sandaran dua adiknya, Muhammad Annuar (duduk di kerusi roda) dan Muhammad Affendi untuk bergantung harap. FOTO Ihsan Mohd Rizuan Rosley
MOHD Rizuan (kiri) menjadi sandaran dua adiknya, Muhammad Annuar (duduk di kerusi roda) dan Muhammad Affendi untuk bergantung harap. FOTO Ihsan Mohd Rizuan Rosley
Redzuan Muharam

Sungai Petani: Walaupun menderita barah otak tahap dua, Mohd Rizuan Rosley, 32, mengenepikan sakit ditanggung dengan berkorban mencari rezeki menyara keluarganya.

Lebih menyayat hati, anak sulung daripada sembilan beradik itu kini terus diduga dengan takdir apabila adiknya, Muhammad Annuar, 28, turut menghidap barah otak manakala seorang lagi iaitu Muhammad Affandi, 19, terlantar selepas terbabit dalam kemalangan baru-baru ini.

Berkongsi kisahnya, Mohd Rizuan berkata, sebagai anak sulung dia mengambil tanggungjawab membantunya ibunya, Jamilah Musa, 50, yang berstatus ibu tunggal selepas berpisah dengan bapanya beberapa tahun lalu.

Katanya, empat adik beradik lain sudah berkahwin dan dua lagi adiknya masih bersekolah jadi dia tiada pilihan melainkan mengerah keringat walaupun kesihatannya tidak menentu.

"Dulu, saya selalu sakit kepala hingga makan ubat pun tiada kesan. Sakit kepala itu sampai tahap saya akan hentak kepala ke dinding, telinga jadi berdengung dan mudah lupa.

"Ingatkan sakit biasa sehingga ke klinik dan diminta rujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum dapat tahu saya menghidap barah otak.

"Mac lalu, adik saya Annuar (Muhammad Annuar) mengadu sebelah mata kanannya kelabu tapi asyik bertangguh menjalani rawatan kerana menyangka ia perkara biasa sehingga dia juga disahkan menghidap barah otak.

"Kelam dunia saya bila doktor memanggil saya dan menerangkan keadaan Annuar kepada saya tanpa doktor tahu, saya juga berada di posisi sama seperti adik saya," katanya.

Tiga minggu lalu, Mohd Rizuan dikejutkan pula dengan berita adiknya, Muhammad Affandi terbabit dalam kemalangan motosikal akibat terlanggar lembu ketika pulang bermain futsal dengan rakan pada waktu malam.

Menurut Mohd Rizuan, adiknya cedera parah hingga terlantar akibat kemalangan itu.

"Mulanya tak kuat nak hadapi ujian tapi mengenangkan adik sakit dan emak yang sebenarnya tak berapa sihat juga mendorong saya tabahkan hati.

"Sampai ke hari ini, saya masih kerja seperti biasa dan kena bertahan kerana keluarga sangat perlukan saya.

"Sesekali, abah datang ziarah tapi dia penjual roti canai saja jadi tak mampu tolong kami kerana dia juga tak sihat.

"Sumber kewangan keluarga kini hanya datang daripada saya dan pendapatan emak yang berniaga kecil-kecilan dengan menjual nasi lemak," katanya yang membantu ibunya menguruskan adik selepas pulang dari kerja.

Mohd Rizuan berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk merawat adiknya terutama Muhammad Annuar yang sudah buta mata kanan dan tak dapat bangun sendiri daripada katil tanpa bantuan.

"Annuar jadi begitu kerana lumpuh kaki dan tangan kanannya. Sebut saja nama orang yang pandai berubat, kami akan usung Annuar ke sana dan ikhtiar selagi boleh cuma belum ditakdirkan sembuh.

"Saya mohon Allah angkat segala kesakitan dan penyakit adik saya serta berikan kesihatan pada saya dan emak untuk kami terus kuat jaga adik," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0211641100045613 atas nama Muhammad Annuar Rosley atau akaun BSN 0210829000096059 atas nama Mohd Rizuan Rosley.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 7:05 AM