REMAJA saat perkembangan fizikal dan daya fikir. FOTO hiasan
REMAJA saat perkembangan fizikal dan daya fikir. FOTO hiasan
Intan Mas Ayu Shahimi

LEWAT minggu lalu kecoh dengan kes buli yang viral di media sosial. Lapan individu termasuk empat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kawah, Besut, Terengganu dipanggil untuk memberi keterangan.

Jika dibelek video kejadian buli yang dimuat naik di laman Facebook mahupun YouTube, tentu ramai yang merah telinga dan panas hati kerana geram. Kes buli bukan cerita baru. Ia sentiasa berlaku tidak mengira masa, tempat mahupun suasana.

Bukan tiada usaha untuk mencegah buli daripada terus menjadi wabak. Namun masyarakat sendiri gagal menunjukkan komitmen dan kesungguhan menghentikan gejala buli, bahkan segelintir daripadanya tidak segan untuk turut serta membuli yang lebih lemah.

Menurut Perunding Motivasi Keluarga Zaid Mohamad, buli berlaku apabila seseorang cuba melakukan sesuatu dengan niat untuk membahayakan atau menakut-nakutkan orang yang lain yang dianggap lemah.

“Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula mengklasifikasikan buli sebagai tingkah laku agresif yang berulang, bertujuan menyakiti individu lain dari segi fizikal, mental atau emosi.

“Sebenarnya, ada banyak situasi yang boleh disebut sebagai buli dalam kalangan murid dan pelajar sekolah. Mereka ini berniat mencederakan secara fizikal mahupun emosi. Ada juga yang menggunakan kuasa, kekuatan fizikal dan emosi. Hal ini lazimnya berulang dalam tempoh tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, persoalan paling kerap timbul setiap kali wujud kes buli adalah mengapa. Mengapa buli mudah berlaku dalam kalangan kanak-kanak? Mengapa murid? Mengapa pelajar sekolah?

Kata Zaid, tidak kira apa-pun jawapannya, yang pertama tetap berkait dengan didikan ibu bapa. Dalam kebanyakan kes, kejadian buli jelas menunjukkan ibu bapa gagal mendidik anak-anak mereka menghormati insan lain.

Sudah menjadi fitrah anak-anak, mereka sentiasa perlu diajar dan dididik dengan ilmu, adab, mengenal rasa hormat, dilengkapkan dengan nilai sabar, rasional dan rasa tanggungjawab.

Namun katanya, terdapat banyak lagi faktor yang mendekatkan budaya buli dalam kalangan anak-anak dan remaja. Misalnya, pembelajaran dari sekeliling, niat membalas dendam kerana pernah menjadi mangsa buli atau penderaan, ingin menunjukkan kuasa dan mengawal orang lain, benci kepada individu tertentu dan hilang rasa kasihan atau ihsan sesama insan, akibat kurangnya ajaran agama serta moral.

GALAKKAN anak bercerita mengenai perkara yang berlaku di sekolah. FOTO hiasan
GALAKKAN anak bercerita mengenai perkara yang berlaku di sekolah. FOTO hiasan

PERANAN ORANG DEWASA

Secara ringkasnya, Zaid menggariskan lima peranan ibu bapa untuk mengekang kejadian buli, sekali gus mendidik anak-anak menjauhi kekerasan dan lebih rasional dalam tindakan.

1. Pastikan anak kita tidak menjadi pembuli

a. Pupuk nilai murni dan didik anak supaya menghormati serta prihatin kepada orang lain.

b. Pastikan mereka boleh bergaul secara positif.

c. Tangani perasaan marah dan kecewa secara positif.

d. Tegas dalam menjaga hak diri tanpa menjadi agresif.

2. Pastikan anak faham kepentingan melaporkan kes buli melalui:

a. Galakkan mereka bercerita mengenai perkara yang berlaku di sekolah.

b. Cipta suasana selamat untuk mereka bercerita.

c. Pastikan mereka faham perbezaan antara ‘melapor’ dan ‘menyibuk hal orang lain’.

3. Memerhati dan memantau aktiviti anak-anak

a. Peka kepada perubahan sikap seperti kemurungan, ketakutan atau kesan fizikal yang tidak dijangka.

4. Menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak

a. Luangkan masa untuk mendengar keluh kesah mereka.

b. Usah terlalu cepat menilai sebelum mendengar keseluruhan cerita.

5. Kenal pasti kelemahan anak-anak.

a. Berusaha membina keyakinan diri mereka melalui aktiviti positif.

b. Hargai kebolehan unik anak-anak contohnya melalui muzik, sukan, akademik dan lain-lain.

Selain ibu bapa, kata Zaid, guru dan masyarakat juga memainkan peranan dalam memastikan kanak-kanak mahupun remaja terlepas daripada terus menjadi mangsa buli.

“Sebagai anggota masyarakat, jangan terlalu mudah menolak atau mengambil sikap tidak mahu masuk campur dengan alasan mereka tidak mempunyai sebarang kaitan keluarga. Maksudnya jangan amalkan sikap ‘jaga kain sendiri’.

“Sebaiknya, amalkan sikap cakna (peduli atau ambil berat). Usahakan kempen kesedaran untuk membantu menangani masalah buli di sekolah dan kejiranan. Tanamkan sikap peka. Ambil tahu

di mana ‘kawasan panas’ yang menjadi sasaran pembuli melakukan jenayah mereka. Lebihkan pemantauan di kawasan berkenaan atau baiki kelemahan yang ada supaya tidak terus dijadikan lokasi menjerat mangsa buli.

“Jika perlu, tawarkan diri untuk menjadi pendengar yang baik kepada mangsa buli dan keluarganya. Lebih penting, jangan lupa laporkan kepada polis sebelum jenayah berlarutan,” katanya.

ANAK SAYA DIBULI?

Anak yang rapat dengan ibu bapa lazimnya jarang merahsiakan apa yang dilalui seharian di sekolah. Mereka lebih terbuka untuk berkongsi kerana yakin ibu bapa adalah tempat terbaik untuk merujuk masalah. Begitupun, keadaan mungkin berbeza bagi mangsa buli.

Memetik hasil Penyelidikan Kementerian Kesihatan, Zaid berkata, mangsa lebih cenderung untuk bersikap seperti berikut;

1. Merasa tertekan, kesunyian dan cemas.

2. Mempunyai harga diri yang rendah.

3. Mengalami sakit kepala, sakit perut, keletihan, dan kurang selera makan.

4. Tidak hadir ke sekolah, tidak suka sekolah, dan mempunyai prestasi sekolah yang teruk.

5. Berfikir untuk membunuh diri atau cuba membunuh diri.

Katanya, kajian penyelidikan juga menunjukkan bahawa sesiapa saja yang terbabit dengan buli, tidak kira sama ada pembuli itu sendiri atau mangsanya, mereka berisiko tinggi untuk menghidap kemurungan.

HENTIKAN BULI

Selepas kes demi kes dilaporkan kepada pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan Malaysia,

sudah tiba waktunya ibu bapa mengingatkan anak-anak sendiri mengenai bahana buli.

Sentiasa persiapkan diri anak-anak dengan nilai murni, sifat pengasih, rasa tanggungjawab dan kesedaran moral yang tinggi. Jelas Zaid, buli boleh dihentikan jika anak-anak diajar mempraktikkan beberapa langkah berikut:

1. Elakkan menjadi penonton kegiatan buli

2. Jangan ikut orang ramai

3. Jangan ketawa ketika seseorang itu sedang dibuli

4. Jangan membabitkan diri dalam gosip

5. Jangan gunakan Internet untuk menyakiti seseorang

6. Keluar daripada kegiatan buli dan segera dapatkan bantuan

7. Mengetahui kekuatan diri anda

BAGAIMANA MENGELAK BULI?

1. Tingkatkan keyakinan dan keupayaan diri anak-anak. Ibu bapa boleh membantu dengan mengukuhkan bakat terpendam anak-anak dalam bidang tertentu seperti sukan, muzik, sosial dan lain-lain.

2. Tonjolkan keyakinan diri kerana pembuli suka mencari mereka yang lemah dan tidak melawan.

3. Jangan biarkan diri dibuli. Lawan secara selamat dengan melaporkannya kepada pihak yang dipercayai.

4. Elakkan bersendirian. Ingatkan anak-anak supaya sentiasa berada dalam kelompok yang ramai.

5. Jangan tunjukkan kesakitan dan kesengsaraan kerana itu membuatkan pembuli berasa lebih seronok untuk terus membuli.

6. Cuba abaikan pembuli dengan tidak melayan tindakan mereka.

7. Jangan salahkan diri sendiri. Pembuli sebenarnya yang mempunyai masalah mental.

8. Sentiasa berada dalam zon positif, jangan mudah terasa dengan ejekan orang lain.

9. Tukar subjek atau suasana untuk mengalihkan perhatian pembuli.

TIP JIKA DIBULI DI SEKOLAH

1. Minta pertolongan kawan atau guru.

2. Buat laporan kepada pihak berkuasa jika serius, melalui ibu bapa atau guru.

3. Berterus terang dengan ibu bapa.

4. Kukuhkan kelebihan dan keyakinan diri.

5. Cari kumpulan yang positif yang boleh melindungi anda.

6. Aktif dalam kegiatan kokurikulum untuk mencari rakan baharu yang mempunyai minat yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 9:25 AM