Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Mayat seorang lelaki ditemukan tertiarap dalam longkang sedalam lebih satu meter di tepi jalan Kampung Seribong di sini, hari ini.

Mayat lelaki yang berpakaian lengkap itu ditemukan dua pekerja syarikat penyelenggaraan jalan kira-kira jam 11.30 pagi tadi ketika sedang menjalankan kerja memotong rumput.

Seorang pekerja, Muhamad Musaha, 35, berkata sebaik ternampak objek itu, dia memanggil rakannya untuk kepastian kerana menyangkakan lelaki itu pengsan.

Katanya, namun selepas diperhatikan dengan teliti mendapati jasad itu langsung tidak bergerak sebelum segera menghubungi pihak berkuasa.

"Mayat itu tidak memakai kasut dan kedua kaki serta tangannya kekuningan seakan kecut sedangkan dalam longkang tidak ada air," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

ANGGOTA Unit Forensik PDRM memeriksa mayat lelaki ditemukan tertiarap dalam longkang di Kampung Seribong di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA Unit Forensik PDRM memeriksa mayat lelaki ditemukan tertiarap dalam longkang di Kampung Seribong di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Muhamad berkata, selain dia dan rakannya itu, dua lagi pekerja lain turut berada di sekitar lokasi dan semua mereka menjalankan kerja pemotongan rumput sejak jam 8.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat lelaki itu.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HTPZ II), di sini untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 2:51 PM