Najiy Jefri

Perjalanan seni pelakon Sophia Albarakbah sepanjang empat tahun ini tidak pernah sunyi dengan cerita sensasi yang mengaitkan namanya.

Bagaimanapun, Sophia sentiasa dilihat tenang dan tidak pernah lari daripada menjawab segala tohmahan yang boleh menjejaskan reputasinya sebagai selebriti.

Namun, wanita berusia 30 tahun itu bersyukur apabila rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus.

Lebih mengujakan, Sophia terus diberi kepercayaan oleh syarikat produksi dan pengarah untuk menjayakan setiap karya yang sesuai dengan kemampuan lakonannya.

Kata Sophia, tahun ini dia mahu terus fokus dengan kerja dan enggan menoleh segala kisah hitam yang memberi impak negatif kepada dirinya.

"Sekarang bukan masa untuk menoleh ke belakang. Saya mahu fokus mengukuhkan nama dalam lakonan.

"Saya bersyukur apabila dihujani pelbagai tawaran sepanjang tahun ini. Insya-Allah saya juga ada empat filem yang akan ditayangkan di pawagam tahun ini," katanya.

Menurut Sophia, sempena kedatangan 2024 dia mahu membuka buku baharu selain enggan terpalit dengan gosip murahan.

"Saya sebolehnya nak menjaga imej dengan sebaik mungkin. Saya enggan peminat kenal saya kerana pelbagai cerita kontroversi. Saya nak mereka mengagumi lakonan saya.

"Cukup-cukuplah kontroversi yang pernah melanda sebelum ini. saya tidak mahu kisah silam diungkit lagi," katanya.

SOPHIA Albarakbah enggan terpalit pelbagai kontroversi bermula tahun baharu, mahu lupakan kisah hitam.
SOPHIA Albarakbah enggan terpalit pelbagai kontroversi bermula tahun baharu, mahu lupakan kisah hitam.

Ditanya mengenai soal kekasih, Sophia berkata, dia tidak terfikir untuk memiliki teman lelaki dalam waktu terdekat.

"Kalau bab percintaan, saya memang tak fikir langsung. Soal jodoh itu nantilah dulu. Saya tak mencari dan tak fikir.

"Tipulah kalau tiada yang mendekati tapi saya tak berminat. Sebelum ini saya risau jika terlalu fikirkan kerja, saya akan lambat kahwin. Tapi rasanya itu adalah pilihan yang tepat.

"Saya percaya pengalaman lama memberi saya satu pengajaran. Saya tak serik bercinta tapi itu bukan keutamaan dan tumpuan saya," katanya.

Katanya, filem itu adalah lakonan pertamanya ketika mula menapak dalam filem pada 2018.

"Saya dapat tawaran filem ini menerusi proses uji bakat pada penghujung 2018. Jujurnya ketika itu belum ada sebarang latihan, tapi saya gembira melihat peningkatan kemahiran lakonan sehingga hari ini.

"Cuma saya tidak mahu terlalu selesa dan akan terus memperbaiki diri. Sepanjang sesi penggambaran filem ini pun saya sering bertanya dengan pengarah untuk menjayakan babak-babak panas dalam filem ini," katanya

Terdahulu, Sophia memberitahu dia mengaku berdepan ketakutan ketika menjayakan babak menjadi mangsa rogol dalam filem Jiwa 8 Belas.

Selain Sophia, filem itu turut menampilkan pelakon berbakat besar seperti Shah Hazvee, Izuan Ramli, Ikhram Juhari, A Galak, Datuk Jalaluddin Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 6:00 AM