MULA berlakon dalam filem, Sophia kini aktif dalam drama.
MULA berlakon dalam filem, Sophia kini aktif dalam drama.
Syafil Syazwan Jefri


NAMA pelakon Sophia Albarakbah mungkin belum segah pelakon lain, namun dia kian dikenali dalam arena drama dan filem.

Memulakan langkah sebagai pelakon menerusi filem Mimaland, Sophia, 28, menganggap kehadirannya dalam industri lakonan tanah air sebagai tidak sengaja.

"Sebenarnya, semuanya bermula dengan hanya cuba-cuba. Ketika belajar dulu, saya pernah berlakon iklan dan kebetulan ada rakan saya mengajak saya sertai uji bakat lakonan.

"Waktu itu, tak sangka pula saya dapat melepasi sesi uji bakat untuk filem pertama lakonan saya berjudul 18. Kemudian, dapat pula peluang untuk berlakon dalam filem Mimaland. Jadi, filem lakonan pertama saya yang ditayangkan di pawagam adalah Mimaland dan dari situ, saya rasa ada rezeki untuk saya dalam bidang ini," katanya.

Memulakan langkah agak lewat dalam bidang lakonan, Sophia tidak melihat usia sebagai penanda aras untuknya memberikan hasil kerja yang berkualiti.

"Pada awalnya, apabila saya lihat banyak bakat baharu terdiri daripada mereka yang lebih muda daripada saya, saya tak nafikan ada rasa seperti diri saya serba kekurangan. Tapi, saya kuatkan semangat dan perlu berhenti berfikir sedemikian. Usia hanya angka dan tak kisah usia berapa pun asalkan kita terus memperjuangkan bakat," katanya.

Berkongsi mengenai strategi untuk menaikkan namanya sebagai pelakon, aktres berdarah campuran Melayu, Arab dan Cina ini lebih selesa untuk tidak menggunakan gimik sebagai strategi.

"Kalau boleh, saya naik kerana orang sukakan watak atau lakonan saya dalam sesuatu karya. Saya nak orang kenal saya dengan cara itu dan bukan dengan perkara yang tular. Mungkin cara saya itu memakan masa lama, namun saya yakin itu akan membuatkan saya lebih puas. Kalau tular kerana sesuatu gimik pun, saya rasa saya takkan gembira," katanya.

SOPHIA kini mula menyinar dalam dunia lakonan.
SOPHIA kini mula menyinar dalam dunia lakonan.

Namun, dia sentiasa menghormati pilihan mereka yang selesa menggunakan gimik sebagai strategi pemasaran.

"Saya tak mahu menghakimi sesiapa kerana itu cara mereka. Setiap individu ada cara masing-masing dan saya hormat cara mereka. Kalau mereka okay dengan cara begitu, itu hak mereka," katanya.

Mula melebarkan sayap lakonannya ke kaca TV, Sophia juga bakal muncul dalam drama bersiri Suamiku Lelaki Pendosa bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz yang akan ditayangkan di slot Akasia, TV3.

"Dalam drama ini, saya diberi tanggungjawab untuk melakonkan watak heroin. Jadi, tumpuan saya juga sekarang bukan hanya kepada filem, tetapi juga drama tempatan," katanya.

Berkongsi mengenai cabaran sebagai pelakon, Sophia yang masih hijau dalam industri tidak menafikan ada beberapa babak yang benar-benar mencabar kemampuannya.

"Sebelum mula berlakon, saya ada menyertai kelas lakonan di bawah kelolaan kak Farah Ahmad. Kalau bercakap mengenai cabaran, ada beberapa watak dan babak yang saya rasa benar-benar mencabar kemampuan saya. Antaranya, babak yang memerlukan saya untuk marah. Itu memang mencabar dan susah. Kalau babak untuk menitiskan air mata, ia tidak menjadi masalah untuk saya," katanya.

Selain Suamiku Lelaki Pendosa, Sophia juga pernah membintangi beberapa drama lain antaranya Tercipta Satu Ikatan, Hadiah Dari Tuhan dan filem Ada Hantu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 6:00 AM