SOPHIA Albarakbah. FOTO Sadiq Sani
SOPHIA Albarakbah. FOTO Sadiq Sani
Ramlah Zainal

Seri Kembangan: Demi menjiwai watak Myra dalam filem genre romantik komedi aksi, Reeza, pelakon sensasi, Sophia Albarakbah sanggup melakukan babak aksi sendiri tanpa bantuan 'stuntman' (pelakon aksi lagak ngeri) hingga mengalami lebam-lebam ditangan dan kakinya.

Menurut Sophia, dia sendiri yang memilih untuk melakukan sendiri babak aksi dalam filem berkenaan walaupun pihak produksi ada menyediakan pelakon aksi lagak ngeri di lokasi penggambaran.

Katanya, sebagai pelakon sampai masanya dia keluar dari zon selesa untuk melangkah lebih jauh dalam bidang lakonan.

"Saya sering ditawarkan watak wanita lemah lembut dan mahu keluar dari watak sedemikian," katanya kepada Harian Metro.

Sophia ditemui di lokasi penggambaran filem Reeza terbitan Grand Brilliance Studio Sdn Bhd di sini, petang semalam.

Dalam filem arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 52, itu, Sophia berganding dengan pelakon Alif Satar selaku teraju utamanya.

Mengenai watak lagi, kata Sophia, dia berdepan cabaran besar kerana selain melakukan aksi lagak ngeri sendiri, penggambaran juga sebanyak 80 peratus di lokasi 'outdoor' dan berdepan dengan cuaca panas.

Katanya, ia juga kali pertama dia melakukan babak aksi sendiri dalam penggambaran.

"Selain babak pergelutan, ada babak aksi di mana, saya melompat ke atas lori yang sedang bergerak.

"Memang berasa sakit-sakit badan selepas buat babak aksi berkenaan tapi saya berasa puas selepas melakukannya," katanya.

Mengenai gandingan dengan pelakon Alif Satar pula, kata Sophia, ia julung kali mereka bergandingan sebagai watak utama dalam filem.

"Ia kali pertama dengan Alif dan kali kedua bekerjasama dengan pengarah Dr Ahmad Idham selepas filem genre seram komedi, Saka Perawan," katanya yang baru sahaja dinobatkan pemenang kategori utama Ratu Telenovela dan Pelakon Wanita Popular, Anugerah Telenovela Ke-9 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 1:50 PM