SITI Rahmah merangkul gelaran juara silat dunia selama empat kali berturut-turut. - FOTO Azrul Edham
SITI Rahmah merangkul gelaran juara silat dunia selama empat kali berturut-turut. - FOTO Azrul Edham
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Wanita ini bukan calang-calang apabila berjaya mempertahankan gelaran juara silat dunia selama empat kali berturut-turut, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Ini menjadikan Siti Rahmah Mohamed Nasir, 36, sebagai pesilat wanita Malaysia yang pertama mencipta rekod pencapaian luar biasa itu.

Kejayaan yang dilakarkan ratu silat negara ini ialah apabila merangkul pingat emas pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia Tahun 2012 di Chiangrai, Thailand, Kejuaraan Pencak Silat Dunia Tahun 2014 (Phuket, Thailand), Kejuaraan Pencak Silat Dunia Tahun 2016 (Bali, Indonesia) dan Kejuaraan Pencak Silat Dunia Tahun 2018 (Singapura).

Selain itu, Siti Rahmah turut merangkul pingat emas pada Sukan Sea Singapura Tahun 2015 dan Sukan Sea Malaysia Tahun 2017.

Bagaimanapun, wanita berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu ini bersara sebagai atlet selepas Kejohanan Silat Dunia 2022 dan kini menjadi jurulatih silat kebangsaan sejak Mac lalu.

Siti Rahmah berkata, kegagalan mempertahankan empat pingat emas yang dimenangi empat pertandingan lalu pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia Tahun 2022 di Melaka, menjadi titik tolak perubahannya untuk menjadi jurulatih silat kebangsaan.

"Walaupun sedikit kecewa tetapi saya tidak membiarkan ia berlarutan lama dengan perasaan ini dan segera melenyapkannya.

"Seterusnya, saya memutuskan bersara dan memberi peluang kepada atlet baharu untuk beraksi di pentas pertandingan," katanya.

MELIHAT pesilat kendaliannya berlatih. - FOTO Azrul Edham
MELIHAT pesilat kendaliannya berlatih. - FOTO Azrul Edham

Katanya, segala ilmu persilatan yang dimiliki selama 15 tahun dalam bidang ini dikongsikan dengan cara melatih pesilat baharu.

"Ketika ini, saya sedang melatih 15 pesilat berusia di bawah 30 tahun dan berhasrat melahirkan seorang juara yang mempunyai kemahiran menyeluruh iaitu memiliki kemahiran teknik, taktik silat bertaraf antarabangsa serta  mempunyai corak fikiran berintelektual tinggi.

"Oleh itu saya menggalakkan atlet untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi di samping menjadi atlet kebangsaan.

"Ketika ini, ada pesilat sedang melanjutkan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) serta ijazah sarjana," katanya.

Katanya, dia menceburi dunia persilatan selepas meninggalkan bidang teakwondo pada 2008 bagi memulakan cabaran baharu dalam pencak silat.

"Saya tertarik dengan silat kerana ia satu seni bela diri yang mempunyai keunikan tersendiri iaitu lebih kepada adab budaya Melayu.

"Keistimewaannya terletak pada gerakan jatuhan pencak silat dan guntingan iaitu teknik menjatuhkan lawan yang dilakukan dengan menyepitkan kedua tungkai pada sasaran leher, pinggang atau tungkai lawan," katanya.

Menurutnya, kejayaan yang diraihnya bukan mudah kerana pernah melalui cabaran yang sukar dilupakan.

"Lima bulan sebelum berlangsungnya Sukan Asia 2018 di Indonesia, saya mengalami kecederaan patah tangan kiri ketika beraksi dalam kejohanan silat di Belanda. 

"Saya bekerja keras membuat persediaan untuk kejohanan Sukan Asia 2018 dan terus berlatih dalam keadaan tangan patah walaupun dilarang rakan pasukan.

"Pada masa itu, saya teguh dengan keputusan ini kerana bukan mudah mendapat peluang untuk beraksi pada kejohanan berkenaan.

"Tetapi malangnya rezeki tidak berpihak kepada saya apabila tewas kepada pesilat Vietnam pada peringkat suku akhir," katanya. 

SITI Rahmah (kanan) beraksi menentang atlet Indonesia, Pipiet Kamelia. - FOTO Arkib NSTP
SITI Rahmah (kanan) beraksi menentang atlet Indonesia, Pipiet Kamelia. - FOTO Arkib NSTP

Siti Rahmah berkata, pengalaman itu sukar dilupakan dan walaupun pertandingan berkenaan sudah berlalu lima tahun tetapi perasaan sedih masih lagi terasa apabila membicarakan mengenainya.

"Namun kekecewaannya sedikit terubat apabila menang kali keempat dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia Tahun 2018 di Singapura. 

"Bermain silat juga membentuk diri saya menjadi  seorang lebih baik, berdisiplin, bertanggungjawab, fokus dan meningkatkan kerohanian," katanya.

Berkongsi 'rahsia' bergelar juara empat kali berturut-turut Siti Rahmah berkata, kejayaan itu berkat doa ibunya yang tidak pernah jemu mendoakan sepanjang terbabit dalam dunia persilatan.

"Ibu adalah penyokong utama yang sentiasa memberikan sokongan dan motivasi supaya terus berjuang tanpa mudah kalah ketika dalam gelanggang pertandingan.

"Selain itu, ia juga perlu disertai dengan minat dan keikhlasan yang mendorang seorang pesilat melakukan usaha melebihi 100 peratus.

"Untuk berjaya tidak hanya bergantung kepada latihan semata-mata tetapi perlu menjaga adab dengan guru, orang di sekeliling dan menjaga hubungan baik dengan Allah SWT," katanya.

SITI Rahmah (kanan) menerima Anugerah Olahragawati Negeri Terengganu pada 2019. - FOTO Arkib NSTP
SITI Rahmah (kanan) menerima Anugerah Olahragawati Negeri Terengganu pada 2019. - FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 7:00 AM