DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa pertuduhan ke atas dua bekas pegawai kanannya sabit kes berkaitan unsur nadir bumi (REE) di mahkamah semalam, dibuat kerana kecenderungan politik.

Muhammad Sanusi berkata, perkara itu dapat dilihat apabila namanya turut ditulis dalam kertas pertuduhan membabitkan bekas Setiausaha Politiknya, Mohamad Hilmi Abdul Wahab di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kelmarin.

Katanya, nama 'Muhammad Sanusi Md Nor' sepatutnya tidak ditulis dalam kertas pertuduhan itu kerana Mohamad Hilmi berkhidmat kepada 'Menteri Besar Kedah' dan bukannya kepada beliau secara peribadi.

"Ada dalam kertas pertuduhan tulis nama saya, saya rasa ini pendakwaan kecenderungan politik (political motivated). Kenapa tulis nama saya dalam kertas pertuduhan?

"Saya tak ada sangkut paut, tengok kertas pertuduhan ada nama saya.

"Tulis Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah (tak apa), tetapi tulis bekas Setiausaha Politik kepada Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah. Kenapa tulis nama saya?

"Sebab itu saya kata ini kecenderungan politik, bubuh jawatan sudah sebab sebab dia (Mohamad Hilmi) bukan setiausaha politik Muhamad Sanusi, jawatan dia Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah. Tak patut tulis nama saya, main politik apa sampai ke situ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Isnin lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Muhamad Sobri Osman, 63, dan Mohamad Hilmi Abdul Wahab, 50, didakwa di mahkamah selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sabit kegiatan perlombangan REE di Kedah.

Mengulas lanjut mengenai pertuduhan ke atas dua pegawai terbabit, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri berkata, kedua-dua mereka kini berpeluang membersihkan nama di mahkamah selepas ini.

Katanya, selama ini pelbagai tuduhan ke atas pegawai berkenaan hanya dibuat di media sosial dan ini adalah sesuatu yang tidak adil kepada pihak yang dituduh terbabit dalam kes berkenaan.

"Saya tak boleh komen kerana ini kes mahkamah, tetapi ada hikmahnya kerana mereka ada ruang untuk bersihkan diri daripada pelbagai persepsi yang dibangkitkan pihak yang menyerang sejak kecurian berlaku pada 2022. (Mereka) serang hari-hari, tuduh macam-macam.

"(Baharu) tuduhan bukan bersalah lagi, seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan, tunggu bicara dulu. Mereka kata macam-macam, tiba-tiba bicara tak bersalah macam mana? Dibicarakan di media suatu perbuatan berat (kerana) tak dapat dijawab.

"Dia (Muhamad Sobri dan Mohamad Hilmi) tak bersalah lagi, (pendakwaan) kena kemukakan bukti, mungkin bicara nanti tak dapat dibuktikan kesalahan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 4:26 PM