MASRUPAWAN (kanan) dan Junaidi santuni haiwan terbuang. Foto Masrupawan Nuri Alwani Abd Ghani
MASRUPAWAN (kanan) dan Junaidi santuni haiwan terbuang. Foto Masrupawan Nuri Alwani Abd Ghani
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Muda: Demi kasih kepada 43 kucing jalanan yang dibela selain mahu menjaga keselesaan haiwan itu dan kejiranannya, pasangan suami isteri sanggup mengeluarkan sejumlah wang untuk membina dua ruang 'rumah' kucing di tepi kediamannya.

Usaha itu dilakukan Masrupawan Nuri Alwani Abd Ghani, 34, dan suaminya, Muhammad Junaidi Muhammad Abdah, 31, yang membina ruang untuk kucing peliharaan selepas diselamatkan di jalanan dalam keadaan sakit sejak hampir lima tahun lalu.

Usaha pasangan itu juga mendapat perhatian dan pujian ramai netizen di TikTok.

Masrupawan Nuri Alwani berkata, mereka membina sebuah ruang yang dijadikan sebagai rumah kucing yang dilengkapi dengan tempat tidur, makan, tandas dan kipas, manakala sebuah ruang lagi sebagai taman permainan haiwan itu.

Menurutnya, ruang berkenaan dibina menggunakan kos sebanyak RM8,000 yang disambung di bahagian tepi rumahnya dan mereka menyelamatkan kucing jalanan di sekitar kawasan mereka yang mempunyai sakit kronik dan hilang upaya.

"Semuanya bermula selepas saya mendengar ceramah agama yang mengatakan dalam hidup ini bukan kita saja tetapi apa manfaat yang kita boleh bagi. Daripada itu dan atas ihsan terhadap kucing jalanan, kami menyantuni haiwan itu.

"Semua kucing yang diselamatkan adalah baka biasa dan kami sememangnya pencinta kucing, malah ketika pandemik Covid-19 lalu kami memberi makan kepada haiwan jalanan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kesemua kucing peliharaannya sudah dimandulkan dan mendapatkan vaksin setiap tahun secara berperingkat dengan semua kos makanan dan rawatan ditanggung mereka sendiri dan setakat ini belum pernah meminta sumbangan.

"Apabila jumlah kucing sudah semakin banyak saya tidak boleh tempatkan ia dalam rumah bersama kami sebab itu kami bina ruang mereka sendiri secara berperingkat.

"Apabila siang kucing akan dilepaskan di taman mereka yang lengkap dengan permainan, pokok, jambatan, tempat memanjat dan cakaran.

"Konsep taman ini terbuka tetapi petak jaring digunakan adalah yang kecil supaya haiwan lain tidak boleh masuk selain kami juga meletakkan jala ikan di pagar sekeliling kawasan rumah, manakala untuk rumah kucing ia berbumbung.

"Semua ini saya buat demi kepuasan semua pihak dan paling penting keselesaan kucing dan kawasan kejiranan kerana nak lepaskan tidak boleh kerana mengganggu jiran dan setiap pagi sebelum bekerja saya menguruskan kucing dulu," katanya.

Dia yang mempunyai perniagaan hotel kucing di Sungai Petani, perkongsiannya di TikTok untuk memberi kesedaran mengenai kucing termasuk pemandulan haiwan itu supaya populasi haiwan itu terkawal dan tidak dibuang di jalanan.

"Ini kepuasan saya dan kami bukanlah orang senang sangat tetapi Insya-Allah rezeki itu sentiasa ada dengan usaha dan bagi saya perjalanan menjaga 43 kucing memang berliku, tetapi alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

"Haiwan ini juga menjadi penghibur buat kami apatah ketika kami masih belum mempunyai zuriat sendiri sejak berkahwin tujuh tahun lalu. Kami anggap kucing peliharaan seperti anak dan bahasakan diri sebagai 'mama' dan 'daddy'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 8:01 AM