Insiatif Badan Pengurusan Bersama (JMB) Shop Apartment Antilia, Bandar Tasik Puteri, di sini menyediakan sangkar khas untuk menempatkan kucing jalanan di kawasan berkenaan mendapat pujian masyarakat setempat.
Insiatif Badan Pengurusan Bersama (JMB) Shop Apartment Antilia, Bandar Tasik Puteri, di sini menyediakan sangkar khas untuk menempatkan kucing jalanan di kawasan berkenaan mendapat pujian masyarakat setempat.
Noor Hidayah Tanzizi


Rawang: Inisiatif Badan Pengurusan Bersama (JMB) Shop Apartment Antilia, Bandar Tasik Puteri, di sini, menyediakan sangkar khas untuk menempatkan kucing jalanan mendapat pujian masyarakat setempat.

Usaha itu dilakukan bagi mengatasi masalah lambakan kucing terbiar yang menyebabkan persekitaran terjejas kerana najis haiwan itu mencetuskan rasa kurang senang penduduk setempat.

Pengurus JMB kawasan berkenaan, Mohammad Hanafiah Ismail berkata, inisiatif itu dilakukan sejak dua bulan lalu selepas mendapat banyak aduan mengenai kebersihan.

Menurutnya, sangkar itu dijadikan 'transit' kucing jalanan yang dikutip setiap Khamis untuk dijaga sementara pihaknya menyerahkan haiwan itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan orang ramai boleh memelihara haiwan berkenaan.

"Usaha ini dilakukan atas dasar prihatin terhadap kucing jalanan yang mana jumlah haiwan itu memang banyak dan pernah beberapa kali berlaku kes dilanggar kenderaan, jadi ini untuk menyelamatkan haiwan itu sekali gus mengatasi masalah penduduk setempat di sini.

"Kucing ini akan dijaga sementara sebelum kami serahkan kepada pihak PBT. Kami juga mengalu-alukan orang ramai yang berminat menjaga kucing tanpa tuan ini datang ke kawasan kami atau terus ke PBT untuk memilihnya sendiri," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, sangkar tiga tingkat berkenaan boleh menempatkan kira-kira 30 hingga 40 kucing dalam satu masa dan pihaknya menerima sumbangan makanan haiwan itu yang disumbangkan oleh penduduk setempat.

"Sejak usaha ini dilakukan kami nampak sudah ada perubahan apabila sudah tiada kekotoran seperti najis haiwan di sekitar kawasan ini dan sangkar kucing ini juga menjadi lokasi kanak-kanak meluangkan masa melihat haiwan itu setiap petang.

"Usaha ini juga mendapat pujian penduduk setempat apabila kita dapat menguruskan masalah berbangkit dengan inisiatif yang lebih baik apabila tetap memikirkan kebajikan haiwan itu," katanya memberitahu mereka juga selalu membersihkan sangkar dan kawasan sekitar supaya tiada bau busuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 1:59 PM