SURAIDAH menggunakan Proton Saga BLM berwarna biru muda nombor pendaftaran JRW 6380 ke Terengganu. FOTO ihsan FB keluarga
SURAIDAH menggunakan Proton Saga BLM berwarna biru muda nombor pendaftaran JRW 6380 ke Terengganu. FOTO ihsan FB keluarga
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang wanita, anak lelaki dan dua cucu dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sewaktu bercuti di Pulau Perhentian pada hujung minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, Suraidah Abdul Ghani, 52, dari Kluang, Johor dan ahli keluarganya dikesan keluar dari pulau peranginan itu sejak kelmarin.

Katanya, ahli keluarga tidak dapat menghubungi wanita itu bersama anaknya, Mohamad Aiman Mohd Rafee, 21 serta dua cucunya, Sasa Alesha, 7, dan Ahmad Dhani Mohd Saiful, 4, sejak Sabtu lalu hingga hari ini.

"Kita menerima laporan semalam dari ahli keluarga mangsa memaklumkan mangsa tidak dapat dihubungi bermula pagi 30 September lalu.

"Siasatan dijalankan dan mendapati semua mangsa pergi ke Pulau Perhentian pada 29 September menginap di sebuah resort serta mendaftar keluar pada 1 Oktober jam 8 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rozak berkata, siasatan mendapati semua mangsa mengikuti aktiviti snorkeling pada 29 dan 30 September lalu.

"Pengendali bot memaklumkan telefon ibu serta adik pengadu terkena air dan tidak dapat dihidupkan.

"Mereka memaklumkan akan ke Batu Buruk, Kuala Terengganu selepas keluar dari Pulau Perhentian.

"Keluarga itu menggunakan kenderaan jenis Proton Saga BLM berwarna biru muda nombor pendaftaran JRW 6380," katanya.

Katanya, mereka menaiki bot kira-kira jam 8 pagi dan sampai ke jeti di Kuala Besut kira-kira jam 9 pagi pada 1 Oktober.

"Namun sehingga kini keberadaan mereka masih gagal dikesan dan dihubungi serta siasatan diteruskan untuk mengesan keluarga itu.

"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan yang digunakan bergerak keluar dari Pekan Kuala Besut menuju ke arah Jambatan Seberang Kastam pada 1 Oktober kira-kira jam 10.06 pagi," katanya.

Rozak berkata, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menyampaikan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Nur Izzati Arina di talian 017-3792157 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Besut 09-6956222 atau balai polis terdekat.

"Polis juga memberi amaran kepada orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh mengganggu siasatan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 12:58 PM