ANGGOTA penyelamat melakukan operasi SAR untuk mencari pemancing dikhuatiri lemas. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
ANGGOTA penyelamat melakukan operasi SAR untuk mencari pemancing dikhuatiri lemas. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki terbalik ketika memancing udang di Sungai Besut berhampiran pintu gate Tok Gong, Kampung Amir, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa dikenali sebagai Hussin Jusoh, 46, beralamat Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.

Katanya, rakan mangsa, Mohd Faizol Ya, 35, memaklumkan dia bersama Hussin meletakkan bot di tepi jeti Kampung Amir berhampiran pintu gate Tok Gong kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Semasa mereka memancing tiba-tiba bot yang dinaiki hanyut dan tersangkut di kayu sebelum terbalik.

"Pengadu sempat berenang ke tepi sungai tetapi mangsa dibawa arus dan dia gagal menyelamatkan rakannya itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rozak berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bermula jam 8 pagi disertai tiga pegawai serta 28 anggota penyelamat.

"Dua bot digunakan untuk mencari mangsa iaitu bot polis dan bomba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 11:49 AM