GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Seorang pemetik buah ditemui maut atas pokok dokong setinggi enam meter dalam kejadian di kebun Kampung Dusun Beliku, Jalan Air Panas La, Pasir Akar, Hulu Besut, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam kira-kira jam 5.15 petang, Saari Ghani, 53 tahun ditemukan maut apabila leher mangsa tersangkut di celah dahan pokok.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa sebelum itu sempat memaklumkan kepada isterinya mahu pergi ke kebun di belakang rumah mereka untuk memetik buah-buahan kira-kira jam 9 pagi semalam.

"Namun sehingga jam 7 malam suaminya masih belum pulang dan dia meminta menantu dan adik ipar mencarinya di kebun jam 10 pagi esoknya.

"Namun kedua-dua mereka gagal menemui suami pengadu dan hanya nampak dua bekas berisi duku di tengah jalan menghala ke rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rozak berkata, ketika anggota penyelamat tiba di lokasi kejadian kira-kira jam empat petang, sebelum mangsa ditemukan meninggal dunia dengan keadaan leher tersangkut di celah dahan pokok kira-kira jam 5.15 petang.

"Lokasi mayat mangsa dijumpai kira-kira lebih kurang 200 meter dari rumah mangsa.

"Anggota penyelamat serta dibantu orang kampung memanjat pokok dokong untuk membantu menurunkan mangsa dari pokok dokong kira-kira jam 6 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 9:45 PM