PIHAK berkuasa mengangkat mayat kanak-kanak tujuh tahun yang maut dalam kebakaran malam tadi di Kampung Pisang, Air Itam. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
PIHAK berkuasa mengangkat mayat kanak-kanak tujuh tahun yang maut dalam kebakaran malam tadi di Kampung Pisang, Air Itam. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Jalan Paya Terubong, Kampung Pisang, Air Itam di sini, malam tadi.

Mangsa, G Sri Laavanya ditemukan rentung, manakala wanita berusia 50 tahun yang juga nenek mangsa cedera di tangan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, TS Zulfahmi Sutaji berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 11.19 malam.

Katanya, seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dan Jalan Perak bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat dengan dibantu 50 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Bukit Bendera, Bagan Ajam, Jalan Perak, Padang Lalang serta Air Itam.

"Ketika tiba di tempat kejadian, api marak membakar tiga rumah kampung yang berkedudukan rapat antara satu sama lain.

"Berdasarkan maklumat awal, dipercayai kanak-kanak berusia tujuh tahun terperangkap dalam rumah berkenaan dan api berjaya dikawal pada 12.45 tengah malam.

"Pasukan bomba menghadapi kesukaran berikutan tiada laluan masuk bagi jentera ke lokasi selain perlu menggunakan hos sejauh 150 meter dari jalan utama ke kawasan kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi, awal pagi tadi.

Mengulas lanjut Zulfahmi berkata, pasukan penyelamat kemudian menemukan mayat kanak-kanak itu dalam keadaan mengiring dan rentung sepenuhnya kira-kira lapan meter dari pintu utama rumah berkenaan.

Katanya, kanak-kanak malang terbabit dipercayai terperangkap di bilik tidur berdasarkan terdapat katil berhampiran mangsa.

"Kanak-kanak itu dipercayai panik dan dalam keadaan asap tebal, mangsa mungkin cuba lari sama ada ke bilik air atau ke jalan keluar berhampiran, namun siasatan lanjut akan menentukan puncanya," katanya lagi.

Menurut Zulfahmi, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan, manakala mayat kanak-kanak itu diserah kepada polis sebelum dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat.

"Punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan dan operasi tamat pada jam 1.23 pagi," katanya.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi lokasi kejadian berikutan datuk dan nenek serta ahli keluarga mangsa meratapi pemergian kanak-kanak itu.

Kepantasan pasukan penyelamat mengawal kebakaran juga mengelak api daripada merebak ke rumah berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 7:03 AM