SEBELAS rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu. FOTO Ihsan Pembaca
SEBELAS rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu. FOTO Ihsan Pembaca
Juwan Riduan


Lahad Datu: Kanak-kanak perempuan ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian kebakaran di Kampung Sabah Baru, di Jalan Nipah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa yang berusia dua tahun ditemui selepas api berjaya dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.52 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi kejadian.

"Operasi turut dibantu oleh enam anggota daripada BBP Kunak bersama dua jentera dan agensi lain.

"Sekurang-kurangnya 11 rumah jenis tidak kekal musnah terbakar dan operasi pemadaman terus dilakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba juga terpaksa memecahkan empat lagi rumah berhampiran bagi menyekat api daripada terus merebak.

"Pasukan bomba juga berdepan kesukaran memasuki kawasan kebakaran disebabkan jambatan yang terlalu sempit dan usang," katanya.

Sementara itu, Sumsoa berkata, mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui itu dipercayai berada di rumah pertama yang terbakar.

"Mayat kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Lahad Datu dan kes diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada 10.55 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 1.15 petang," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti punca kejadian dan jumlah kerugian dalam insiden kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 4:40 PM