Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua beradik ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran enam rumah di Kampung Pulutan, Manggatal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa Jayraiyen Jabri, 5 dan abangnya Jackron, 6, ditemui selepas api berjaya dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 1.03 tengah hari.

Katanya, seramai 35 pegawai dan anggota dari BBP Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kebakaran.

"Sebaik tiba di lokasi, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran dan dua pancutan dengan sumber air jentera.

"Kebakaran membabitkan enam rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

"Terdapat dua kanak-kanak ditemukan rentung di lokasi kebakaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Kerja-kerja pemadaman masih diteruskan dan operasi terkawal pada 2.53 petang.

"Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 6:17 PM