MOHD Mizi memegang bingkai gambar isterinya, Nur Hanis ketika sesi fotografi Aidilfitri. (Gambar kanan) Mohd Mizi bersama Nur Hanis. FOTO ihsan Mohd Mizi Abu Hasan
MOHD Mizi memegang bingkai gambar isterinya, Nur Hanis ketika sesi fotografi Aidilfitri. (Gambar kanan) Mohd Mizi bersama Nur Hanis. FOTO ihsan Mohd Mizi Abu Hasan
Redzuan Muharam


Batu Gajah: Berat ujian ditanggung Mohd Mizi Abu Hasan apabila terpaksa menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi tanpa isteri tercinta, Nur Hanis Abd Rahman yang dijemput Ilahi pada 28 Mac lalu.

Nur Hanis meninggal dunia pada usia 33 tahun akibat jangkitan Covid-19 dan barah payudara tahap empat.

Biarpun sudah genap sebulan Nur Hanis pergi, Mohd Mizi, 37, mengakui masih bersedih dan terkenangkan saat indah bersama isterinya itu walaupun semuanya kini tinggal kenangan.

Lebih menyedihkan Mohd Mizi apabila tidak berpeluang berada di sisi sewaktu Nur Hanis menghembuskan nafas terakhir kerana isterinya itu meninggal dunia di wad hospital pesakit Covid-19 yang tidak membenarkan kehadiran pelawat.

"Arwah memang isteri yang terbaik, taat, menghormati saya sebagai suami dan sentiasa uruskan keperluan iaitu makan serta pakai saya.

"Dia juga anak yang baik dan menyayangi keluarganya jadi kami semua terkesan dengan pemergiannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Mizi berkata, dia dan isteri mendirikan rumah tangga pada 13 Disember 2019 dan hidup bahagia walaupun tiada rezeki dikurniakan cahaya mata.

Oktober tahun lalu, Nur Hanis disahkan menghidap barah payudara dan sejak itu tinggal dengan keluarganya di Kampung Selat Pulau, Kampung Gajah, di sini sebelum disahkan positif Covid-19 awal Mac.

"Berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, arwah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan dan ditidurkan sepanjang dua minggu di wad.

"Arwah ada tersedar beberapa kali dan kami kerap berhubung menerusi panggilan video namun arwah tidak boleh bercakap kerana ada wayar pada mulutnya.

"Kiranya, kali terakhir saya bercakap dengan arwah adalah sebelum dia dimasukkan ke hospital dan arwah sempat berpesan untuk menjaga rumah serta keluarganya," katanya.

 Katanya, Nur Hanis ada menunjukkan beberapa tanda sebelum meninggal dunia yang disedarinya dan ahli keluarga.

"Antara sikap peliknya adalah bersungguh beri nombor pin kad bank miliknya kepada saya dan adiknya (Nur Nazirah Abd Rahman, 30) selain meminta maaf dengan mak dan ayahnya.

"Dia juga tidak menempah baju raya tahun ini seperti tahun terdahulu sebaliknya hanya ingin membeli pakaian yang sudah siap saja malah memujuk saya serta keluarga memakai pakaian sedondon berwarna kuning cair.

"Ditakdirkan, arwah meninggal dunia jadi tidak sempat bergambar dengan baju raya yang diimpikan dan kami tak sangka sikap aneh ditunjukkan menjadi petanda arwah akan pergi buat selamanya," katanya.

Berkongsi kisah di sebalik videonya menangis sambil memegang bingkai gambar isteri mendapat perhatian di TikTok, Mohd Mizi mengakui tidak dapat menahan sebak ketika itu.

"Video itu dirakam ketika sesi fotografi saya bersama keluarga isteri di studio pada Ahad lalu.

"Saya jadi sebak kerana melihat ada ahli keluarga isteri yang menangis dan mengenangkan arwah tiada bersama kami ketika itu.

"Terima kasih kepada yang mendoakan walaupun tidak mengenali arwah. Semoga Allah makbulkan doa untuk kami sekeluarga dan beri kebaikan untuk mereka yang mendoakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 6:33 PM