SUNGAI Segget semakin bersih dan sudah diindahkan.
SUNGAI Segget semakin bersih dan sudah diindahkan.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Sungai Segget bakal menjadi seperti Sungai Cheonggyecheon di Seoul, Korea Selatan?

Ia tidak mustahil kerana Sungai Segget yang sebelum ini dikatakan antara sungai tercemar di Malaysia kini semakin bersih malah memiliki pemandangan cantik.

Tidak mustahil, dalam masa terdekat, Sungai Segget bakal menyaingi Sungai Cheonggyecheon.

Sebelum ini, sebut saja Sungai Segget, ia cukup sinonim dengan imej sungai terkotor, busuk dan pernah berada dalam kategori lima sungai paling tercemar atau kelas IV di negara ini sejak 1970-an.

Sejarah Sungai Segget terlakar bersama pembukaan Iskandar Puteri oleh Temenggong Daeng Ibrahim pada 1855 dan pusat pemerintahan itu ditukar kepada nama Johor Bahru oleh Sultan Abu Bakar pada 1866 sehingga era 1900-an, sekali gus menjadikan ia laluan sungai yang sangat sibuk.

Sungai sepanjang 3.8 kilometer itu menjadi nadi pembangunan Johor Bahru dan kebanyakan sampan dan tongkang dagang akan masuk ke perairan muara Sungai Segget untuk memunggah naik atau menurunkan barangan.

Sama seperti Sungai Klang yang begitu penting bagi warga Lembah Klang, Sungai Segget adalah punca pembentukan ruang ekonomi di sepanjang Jalan Wong Ah Fook dan keseluruhan pusat bandar raya yang kekal sehingga kini.

Pada 1903, kawasan berkenaan adalah terminal sementara untuk Keretapi Tanah Melayu manakala pasar pertama di Johor Bahru dibina pada 1879 di atas pulau kecil di Sungai Segget, ia dihubungkan dengan jambatan yang dibina daripada pokok malah kapal nelayan turut berlabuh di pulau berkenaan.

Disebabkan pembangunan pesat dan kepadatan penduduk, pasar berkenaan dipindahkan ke Jalan Wong Ah Fook dan digantikan dengan bangunan komersial bertingkat.

Malangnya, berikutan sistem pembuangan sampah tidak teratur, ia menyebabkan sisa buangan dan sampah daripada pasar dihumban ke sungai hingga menyebabkan berlakunya pencemaran Sungai Segget.

Usaha menyalurkan sisa kumbahan ke loji rawatan secara tidak langsung membantu proses pemulihan Sungai Segget.

Kompleks Rawatan Air Sungai Segget bernilai RM200 juta di Wadi Hana pula siap dibina dan beroperasi pada 2016.

GAMBAR kenangan Sungai Segget suatu ketika dahulu.
GAMBAR kenangan Sungai Segget suatu ketika dahulu.

Itu dulu dan kini, Sungai Segget berubah wajah kepada kawasan rekreasi malah menjadi tempat pelancong asing mahupun tempatan merakam gambar kenangan.

Pengarah Kelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Ir Dr Mohd Fadhil Md Din berpandangan, proses pemulihan Sungai Segget dianggarkan memakan masa antara enam bulan hingga setahun untuk kembali ke keadaan asal sekiranya pelaksanaan beberapa langkah bersesuaian secara menyeluruh dijalankan.

Beliau berkata, tiada kaedah atau teknologi lebih baik selain melakukan pencegahan dan kawalan pencemaran air bagi punca pencemar.

"Kos dan kaedah pemulihan sumber air lebih mudah ditangani berbanding penumpuan kepada teknik dan rawatan pencemaran.

"Kos pengurusan dan pemantauan juga lebih efektif dan ia akan meningkatkan tahap kelestarian sumber air daripada sebarang pencemaran pada masa depan.

"Komitmen pemegang taruh termasuk komuniti dan individu amat diperlukan terutama bagaimana pengasingan sisa dari rumah, bantu untuk tidak membuang bahan cemar ke sistem sungai dan lain-lain.

"Contoh, penggunaan bahan pencuci yang memiliki kandungan bahan kimia termasuk ammonia di kedai cuci kereta dan dobi, ia boleh menjejaskan kualiti air sekiranya ia terus ke longkang dan ke sungai," katanya.

"Air cucian berkenaan boleh dikitar semula bagi penggunaan di premis berkenaan selain ia juga boleh disalurkan ke sistem pembetungan bagi mengelakkan ia mengalir terus ke longkang," katanya.

Mohd Fadhil berkata, menerusi kajian dilakukan pada 2019, tahap pencemaran Sungai Segget masih di kelas empat.

"Pelbagai langkah dilakukan kerajaan negeri, Kerajaan Pusat mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memulihkan keadaan Sungai Segget termasuk mengeluarkan selut dan pembersihan secara berperingkat.

"Kebiasaannya, kita hanya melihat keadaan sungai, namun kita tidak menyedari penyumbang pencemaran, sekiranya ia dapat ditangani, tidak mustahil keadaan sungai ini boleh dipulihkan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

"Bagi menyokong langkah ini, penguatkuasaan perlu dipertingkatkan iaitu tindakan lebih tegas perlu dilakukan bagi pihak yang menyumbang kepada pencemaran selain usaha mendidik masyarakat supaya peka isu sungai," katanya.

KEADAAN Sungai Segget dan Jalan Wong Ah Fook selepas kerja pengindahan dijalankan.
KEADAAN Sungai Segget dan Jalan Wong Ah Fook selepas kerja pengindahan dijalankan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi perkongsian di media sosial Facebook (Fb) berkata, Sungai Segget kini sudah berwajah baharu.

Onn Hafiz berkata, daripada sungai berkategori lima tercemar, kini Sungai Segget sudah berstatus 2B.

Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri juga akan menyusun semula 54 penempatan setinggan di sekitar bandar raya ini, yang juga antara penyumbang kepada masalah pencemaran sungai.

"Semua penduduk terbabit yang dianggarkan berjumlah 50,000 orang akan dipindahkan ke penempatan baharu yang lebih sesuai dan tersusun.

"Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam proses mengenal pasti kawasan setinggan itu dan rancangan penyusunan semula sedang diatur serta tempoh proses berlangsung akan dimaklum kelak.

"MBJB akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Pejabat Tanah dan Galian," katanya.

Malah Kerajaan Negeri Johor turut menubuhkan Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Pemantauan Pencemaran Sungai-Sungai bagi menangani isu pencemaran sungai di negeri ini.

Penduduk tempatan dan pengunjung asing pasti tertarik dengan pemandangan yang cantik dan sekali gus menjadikan Sungai Segget tarikan terbaharu dalam sektor pelancongan seperti Sungai Cheonggyecheon apabila ia menjadi tarikan serta dikunjungi orang ramai untuk bersantai selain berehat.

Pengindahan Sungai Segget dibahagikan kepada tiga zon iaitu Warisan dan Sejarah, Seni dan Budaya serta Santai dan Ceria.

Reka bentuk konsep Zon Sejarah dan Warisan mempromosi serta memperkenalkan kesan sejarah dan warisan Sungai Segget dan elemen asli Johor digabung dengan tema santai keluarga.

Komponen bagi pengindahan dalam zon ini termasuk Plaza Seaview, pembinaan replika Kapal Bugis dengan ukiran 'Prahu Panisi' selain ukiran ikonik Segget menarik perhatian ramai.

Pelancong Singapura, S Grace Amutha, 40-an, berkata, dia yang gemar meluangkan cuti hujung minggu di bandar raya ini mendapati keadaan Sungai Segget semakin pulih.

"Saya perhatikan keadaan Sungai Segget lebih baik berbanding sebelum ini dan dilengkapi pelbagai hiasan serta landskap menarik.

Sementara itu, penjual bunga, Mohd Kassim Hussin, 68, berkata, pengindahan Sungai Segget dapat memperbaiki imej bandar raya memandangkan Johor Bahru menjadi antara pintu masuk negara selain berjiran dengan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 7:45 AM