KEMESRAAN kekal terjalin antara Muhammad Mustafa dan isterinya selepas 27 tahun berkahwin.
KEMESRAAN kekal terjalin antara Muhammad Mustafa dan isterinya selepas 27 tahun berkahwin.
Faliq.Lajim


PEMAHAMAN mengenai agama dan budaya adalah tunjang keharmonian hubungan antara kaum terutama membabitkan perkahwinan campur.

Guru Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Subang di sini, Muhammad Mustafa Abdul Salam, 52, berkata, tidak pernah terlintas satu hari ini nanti seorang wanita berbangsa Cina menjadi isterinya.

Menurutnya, pertemuan dengan isteri yang juga Guru Muzik, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Damai, Seksyen 17, di sini, Nur Hidayu Goh Abdullah, 51 di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (kini dikenali sebagai Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang) pada 1988 mengubah perspektifnya mengenai perkahwinan campur.

“Pada orientasi, gadis manis ini (Hidayu) mencuri perhatian saya. Ketika itu hanya sekadar suka berikutan saya tahu dia berbangsa Cina dan kami menganut agama berlainan.

“Hubungan kami mula rapat apabila berada di satu kelab bola tampar. Rakan kemudian memberitahu saya yang Hidayu sering ‘curi pandang’ saya ketika bermain bola tampar.

“Walaupun, terkejut, namun saya terus beritahu perasaan saya. Alhamdulillah, cinta saya tidak bertepuk sebelah tangan,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Mustafa mengakui, pada awalnya, hasrat perkahwinan mereka mendapat tentangan keluarga berikutan perbezaan kaum serta agama antara mereka.

“Ibu mentua yang banyak menentang perhubungan kami ketika itu. Namun kami tidak pernah menyalahkan ibu berikutan dia tidak memahami budaya Melayu serta agama Islam.

“Namun saya tidak pernah berputus asa untuk menjelaskan kepada dia. Hampir dua tahun dia ambil masa untuk menerima saya selepas anak pertama kami lahir,” katanya yang turut digelar pasangan Hang Tuah dan Hang Li Po oleh rakan mereka.

Perkahwinan 27 tahun itu dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Muhammad Mifzal, 25, Muhammad Mirza, 22 dan Muhammad Mikhail, 17.

“Apabila dia (ibu mentua) semakin faham, kini dia orang pertama yang teruja apabila tiba musim perayaan Aidilfitri. Dia suruh abang membawanya datang ke rumah kami sebab nak makan rendang dan roti jala pandan yang isteri buat.

“Malah, ketika musim perayaan Tahun Baru Cina kami habiskan masa seminggu bersamanya. Perkara itu membuatkan dia gembira disebabkan kami tidak perlu balik ke kampung saya berikutan menyambut perayaan berbeza.

MUHAMMAD Mustafa dan Nur Hidayu bersama haiwan peliharaan mereka.
MUHAMMAD Mustafa dan Nur Hidayu bersama haiwan peliharaan mereka.

“Selain itu, ibu teruja setiap kali kami berjumpa dengannya, saya, isteri dan juga anak kami akan cium tangannya membuatkan dia rasa dihargai dan dihormati,” katanya.

Sementara itu, Nur Hidayu Goh berkata, perkahwinan campur mungkin memerlukan masa bagi segelintir pihak terutama keluarga.

“Apa yang penting penerimaan dan sokongan satu sama lain. Saya bangga anak saya mempunyai darah campuran Melayu dan Cina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 9:36 AM