WANY gembira menang trofi Video MeleTOP di AME2021.
WANY gembira menang trofi Video MeleTOP di AME2021.
Norhayati Nordin


HAMPIR enam tahun gigih memahat nama dan bakatnya dalam karier seni sebagai penghibur dikenali ramai, nama Wany Hasrita, 30, pasti sudah tidak asing dalam kalangan penggemar muzik tempatan.

Cukup popular dengan lagu solo seperti Menahan Rindu, Terlalu Memuja dan Canggung, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah juga hebat di pentas duet bersama penyanyi lain.

Kini, sudah berjaya merangkul beberapa anugerah hasil sokongan undian daripada peminat dalam kariernya, Wany juga pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH31) 2018.

Walaupun Wany juga jarang terpalit dengan cerita kurang enak, sensasi dan berbaur kontroversi, namun perihal peribadi mengenainya tetap ingin diketahui terutama membabitkan cinta dan perancangan perkahwinan, berikutan usia yang meningkat serta dilihat sudah sesuai berkeluarga.

Mengakui kisah cinta membabitkan dirinya dan cerita keinginan melangkah ke fasa perkahwinan sudah bertiup kencang sejak tahun lalu, Wany yang juga dikenali dengan lagu Ewah Ewah mengakui dia sebenarnya berasa agak malu.

"Saya segan dan malu juga apabila sering ditanya mengenai perkahwinan. Rasanya sejak tahun lalu lagi. Malah, ada antara yang bertanyakan itu ingat saya sudah pun berkahwin. Apa pun, Insya-Allah ada rezeki tahun ini juga.

"Insya-Allah sedikit saja lagi. Bagaimanapun, sejauh mana saya bersedia untuk ke arah perkahwinan pastinya perlu 'get ready' dari segi mental dan fizikal. Selebihnya pasal bersedia juga, saya tak boleh nak cakap lebih sebab belum melaluinya lagi.

"Apa pun, terima kasih pada semua yang mendoakan kebahagiaan saya. Semoga segala-galanya lancar nanti. Terima kasih juga kerana terus menyokong saya dalam kerjaya seni hingga kini," katanya gembira memenangi trofi Video MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021), baru-baru ini.

Mengulasnya, Wany berkata, dia sangat bersyukur kerana masih berpeluang memenangi anugerah di acara hiburan seperti AME2021 itu.

Wany yang dikenali juga sebagai pengacara, hingga kini sokongan peminat tidak pernah pudar dan berkurang terhadapnya.

"Apa pun, saya teringin nak menang anugerah MeleTOP Era ini sebab tak pernah menang pun lagi. Alhamdulillah, ada rezeki tahun ini dan saya sangat teruja sebab dapat juga merasa dan terima kasih kepada peminat yang mengundi saya.

"Sebenarnya, ada juga fikir peluang untuk menang itu tipis sebab saya hanya tercalon dalam satu kategori. Apatah lagi, barisan saingan yang dihadapi juga tidak kurang hebatnya. Tapi, terima kasih diucapkan kepada kelab peminat yang mengundi," katanya.

Wany berkata, dia bersyukur sangat dengan kemenangan itu kerana impiannya menjadi kenyataan. Menurutnya, kini dia juga sibuk dengan pelbagai perancangan untuk karier nyanyian terutama merakam dan melancarkan lagu baharu.

Berbicara pula mengenai lagu baharu itu, Wany berkata, dia tidak sabar untuk muncul dengan lagu duet kedua bersama Raja Pop negara iaitu Datuk Jamal Abdillah selepas merakam lagu Belenggu Rindu pada 2019.

"Saya gembira dapat bergandingan lagi dengan Datuk Jamal Abdillah dan tak sabar untuk muncul dengan lagu baharu kami. Apatah lagi, lagu baharu ini sangat 'catchy' dan 'easy listening' buat pendengar. Harapan saya semoga lagu kami diterima baik nanti.

"Apa pun, kami baharu saja selesai menyiapkan muzik video (MV) lagu ini. Alhamdulilah, kami juga sudah membuat yang terbaik dan saya berasa amat bertuah dengan kerjasama ini," katanya mengakui selesa bekerja dengan Jamal.

Menurut Wany, selepas pengalaman merakamkan single Belenggu Rindu itu, dia sentiasa bersikap terbuka sekiranya mendapat peluang seterusnya berduet dengan Jamal. Katanya, Jamal begitu komited dan mudah untuk bekerjasama.

Hingga kini, boleh dikatakan Wany sudah banyak menghasilkan lagu duet yang menjadi perhatian pendengar seperti Di Sana Cinta Di Sini Rindu, Rindu Dalam Benci, Aku Serius, Sinar Terindah, Pedas, Sang Purnama dan Tragedi Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 6:00 AM