Najiy Jefri


SELAMA enam tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air, Wany Hasrita sudah mempunyai hampir 20 single.

Siapa sangka, wanita berusia 29 tahun itu semakin rancak menyusun kerjaya seni sehingga berjaya memenangi pelbagai anugerah.

Bagaimanapun, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasbullah, berkata dia tidak akan sesekali melupakan single pertamanya iaitu Menahan Rindu yang menjadi pemula kepada kariernya sebagai penyanyi.

"Saya memang takkan lupa lagu Menahan Rindu kerana lagu ini mengubah kehidupan saya secara 'total'. Lagu ini benar-benar berhantu. Sampai hari ini pun, ke mana saja saya buat persembahan, penonton akan minta saya nyanyikan lagu ini. Alhamdulillah video muzik lagu ini juga sudah mencecah lebih 36 juta tontonan di YouTube.

"Kemudian lagu Di Sana Cinta Di sini Rindu duet bersama Tajul Ariff, lagu ini juga antara kenangan manis pada awal kemunculan saya di persada seni.

"Ramai yang cakap saya dan Tajul seolah-olah mengimbau kembali zaman sewaktu Allahyarham Achik masih ada dan popular. Pujian itu membuatkan saya terharu dan bersyukur kerana lagu duet itu mendapat sambutan luar biasa," katanya.

Terbaharu, Wany tampi mempertaruhkan single berjudul Cinta Khayalan ciptaan Farouk Razak dan Amylea yang dilancarkan di YouTube, baru-baru ini.

Menurut Wany, lagu ini benar-benar mencabar kredibilitinya sebagai penyanyi dan dia bersyukur berjaya keluar dari zon selesa.

"Lagu ini berat dan sangat mendalam maksudnya. Saya gembira kerana sudah melangkah setapak ke hadapan dan saya berjaya mencabar diri untuk keluar dari zon selesa.

"Ia benar-benar buat saya jatuh cinta. Kalau anda tak percaya dengar dan hayati sendiri lagu ini. Saya juga mohon anda semua menjadi juri dan memberi komen mengenai lagu serta cara nyanyian saya.

WANY kini muncul dengan single terbaharu berjudul Cinta Khayalan.
WANY kini muncul dengan single terbaharu berjudul Cinta Khayalan.

"Saya rela dikritik demi kebaikan kerjaya, tetapi kritik mengenai lagu saja, bukan mengenai kisah peribadi," katanya.

Bercerita mengenai anugerah dan pencapaian dikecapi sepanjang berada dalam industri muzik tanah air, Wany menegaskan dia tidak akan sesekali bersikap sombong atau lupa diri.

Wany berkata, dia bersyukur apabila ibunya, Norita Jaafar selalu membimbingnya dalam membuat sesuatu keputusan selain ingin membahagiakan keluarganya.

"Saya adalah saya, biarpun setinggi mana pun saya terbang. Insya-Allah saya akan tetap tunduk ke bumi. Syukur sebab ada ibu yang selalu ingatkan saya supaya selalu bersyukur dan jangan lupa diri.

"Saya memang selalu bersama ibu. Bagi saya ibu adalah segalanya. Salah satu tujuan saya melangkah ke dalam industri hiburan ini juga selain kerana minat, saya berazam membahagiakan ibu.

"Sebelum saya menjadi penyanyi, saya pernah melalui hidup susah bersama ibu, tambahan pula sewaktu ibu diberhentikan kerja, waktu itu walaupun susah saya tengok wajah ibu tenang saja dan selalu beri saya kekuatan," katanya.

Wany berkata, tahun ini dia tidak mahu bersedih dan mahu teruskan langkah.

"Takdir yang Allah aturkan ini untuk saya terus kecapi dan kejar kebahagiaan bersama ibu dan insan yang saya sayang. Saya tak mahu fikir yang negatif sebaliknya nak terus berjaya" katanya yang juga pemenang Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 6:30 AM