Najiy Jefri


WALAUPUN namanya kini dipuja dan meraih populariti mendadak, Afieq Shazwan tidak terlepas daripada melalui fasa suram dalam hidupnya.

Hampir 14 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, jejaka tampan berusia 25 tahun ini mengaku dia pernah dipandang sebelah mata oleh segelintir pihak termasuk teman-teman di sekelilingnya.

Bagaimanapun, segala cacian yang diterima tidak sedikitpun mematahkan semangat Afieq, sebaliknya dia terus bangkit mengejar cita-cita yang dicintainya itu.

"Tipulah selama 14 tahun ini tidak pernah melalui detik hitam dalam hidup. Saya pernah dikatakan seperti tidak akan ke mana-mana selain begitu terdesak mencuba pelbagai cabang dalam dunia seni ini.

"Tidak kurang juga yang memandang rendah dengan kemampuan saya apabila membandingkan saya dengan penyanyi yang sudah menempa nama dalam syarikat rakaman FMC seperti Haqiem Rusli dan Wany Hasrita.

"Sebenarnya banyak lagi ayat yang membuatkan saya sedikit 'down' tapi saya anggap segala perkara yang dilalui ini adalah asam garam dalam dunia seni.

"Saya ambil segala kata-kata nista itu sebagai satu pembakar semangat untuk saya terus majukan diri ke depan dan menghiraukan cakap-cakap orang yang mahu melihat saya jatuh," katanya.

AFIEQ teruja apabila lagu nyanyian semula yang diberi nafas baharu mendapat perhatian yang luar biasa daripada peminat.
AFIEQ teruja apabila lagu nyanyian semula yang diberi nafas baharu mendapat perhatian yang luar biasa daripada peminat.

Siapa sangka, di sebalik kejian yang pernah dilemparkan kini bertukar menjadi satu kejayaan kepada Afieq apabila meraih tawaran demi tawaran dalam dunia seni.

Tidak hanya berjaya menempa nama sebagai penyanyi, malah Afieq terus mengorak langkah sebagai pengacara dan pelakon ketika ini.

"Apabila sudah semakin berjaya saya lihat segala pencapaian yang dimiliki sebagai satu rezeki dan hadiah buat diri.

"Kesabaran adalah kunci kepada segala-galanya. Saya kini bersyukur dengan segala limpahan rezeki yang Tuhan berikan kepada saya," katanya.

Walaupun parut dan luka masih ada, Afieq bagaimanapun sudah memaafkan setiap individu yang pernah mengguriskan hatinya.

"Saya cuba ubati segala apa yang terpendam dalam hati dengan mensyukuri segala rezeki yang Allah berikan.

"Alhamdulillah semakin ramai yang nampak dengan bakat yang saya hari ini . Malah saya juga banyak belajar daripada pelakon-pelakon senior di set," katanya.

AFIEQ tidak melihat segala cacian yang pernah dilemparkan sebagai penghalang untuk berjaya.
AFIEQ tidak melihat segala cacian yang pernah dilemparkan sebagai penghalang untuk berjaya.

Nafas baharu

Pembabitan Afieq dalam dunia nyanyian dilihat semakin mewangi apabila lagu hits 90-an yang diberi nafas baharu semakin mendapat tempat di hati peminat.

Siapa sangka, selain kejayaan lagu Semakin Dingin duet bersama Tajul berjaya mencapai 26 juta tontonan di YouTube, lagu Layu Di Hujung Mekar yang dipopularkan kumpulan Rio juga mencatat tontonan tinggi.

Lebih menarik, lagu yang diberi nafas baharu itu turut melekat di jiwa pendengar-pendengar muda termasuk kanak-kanak.

"Walaupun hanya nyanyian semula dan dikatakan menumpang populariti sesebuah lagu, tapi saya cuba mengolah dan mencorakkan lagu itu mengikut versi saya.

"Apa yang membuatkan saya bangga adalah ketika rata-rata peminat di luar saja yang mengatakan anak mereka turut menyanyikan lagu ini bersama.

"Jadi apabila anak mereka pasang berulang kali pun tiada masalah kerana mereka juga boleh menyanyi bersama," katanya.

Pengacara Tapau Show

Dalam perkembangan lain, Afieq bakal terbabit sebagai pengacara program Tapau Show yang bakal menemui penonton secara langsung di TV2, setiap Ahad jam 11 pagi bermula 3 April ini.

Afieq berkata, dia tidak sabar untuk menemui penonton setiap hujung minggu dan mengupas topik yang menarik dengan kehadiran selebriti yang berbeza.

"Pelbagai segmen menarik terdapat dalam program ini. Saya tak sabar nak kupas topik-topik yang berbeza setiap minggu.

"Pengalaman mengacara program secara langsung bukanlah kali pertama tapi ini akan menjadi program yang akan disiarkan selama 26 episod," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 6:00 AM