TAJUL bersyukur lagu Malam Semakin Dingin kolaborasi bersama Afieq pahat hati pendengar.
TAJUL bersyukur lagu Malam Semakin Dingin kolaborasi bersama Afieq pahat hati pendengar.
Syafil Syazwan Jefri


Nama penyanyi Tajul tidak perlu lagi diperkenalkan. Bukan sekadar adik kepada Allahyarham Achik Spin, tetapi turut memiliki bakat nyanyian serta muncul dengan lagu popular.

Kini, nama Tajul sekali lagi menjadi bualan ramai apabila dia mendendangkan semula, sekali gus memberi nafas baharu kepada lagu abangnya, Malam Semakin Dingin.

Baginya, dia sendiri tidak menyangka idea yang dicadangkan oleh syarikat rakaman tempatnya bernaung itu mampu membuka satu lagi rezeki buatnya.

"Alhamdulillah, ini juga satu bentuk rezeki apabila saya menyanyikan semula lagu lama itu. Pada awalnya, saya sendiri tak ada perancangan untuk nyanyikan semula lagu arwah abang.

"Namun, syarikat rakaman yang memberi cadangan ini dan saya sendiri tak sangka, ia akan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pendengar," katanya.

Selain membawa tuah dan rezeki, Tajul juga berkongsi rasa gembira kerana lagu Malam Semakin Dingin yang dinyanyikan semula bersama Afieq Shazwan itu dapat mengubat kerinduan peminat arwah Achik.

TAJUL diumumkan sebagai pemenang kategori Top 5 Hit Lokal dan Top 3 Karaoke Hit Popular pada Anugerah Muzik Top Joox.
TAJUL diumumkan sebagai pemenang kategori Top 5 Hit Lokal dan Top 3 Karaoke Hit Popular pada Anugerah Muzik Top Joox.

"Lagu ini memang membawa tuah dan rezeki kepada saya dan Afieq. Namun, apa yang lebih menggembirakan saya adalah sedikit sebanyak kehadiran lagu ini dapat mengubat kerinduan kepada abang," katanya.

Ditanya, bagaimana dia berdepan situasi apabila kerap kali diasak dengan kenyataan bahawa dia bergantung kepada nama abangnya, Tajul tidak pernah mengambil hati mengenai perkara itu.

"Saya tak ambil hati pun. Memang saya tak boleh lari sebab arwah adalah abang saya. Dia abang kandung saya. Kalau orang luar, mungkin saya ada rasa tak selesa," katanya.

Berkongsi mengenai kolaborasinya dengan Afieq, Tajul juga tidak menyangka rancangan yang membuatkannya 'kekok' pada peringkat awal berjaya membuahkan hasil.

"Pada awalnya, saya tak mahu berduet dengan Afieq. Bukan apa, lagu ini adalah lagu cinta dan pelik pula lagu cinta menampilkan dua penyanyi lelaki.

"Tapi, syarikat rakaman inginkan kelainan dan kami turutkan saja. Lagi pula, saya sendiri tahu kemampuan Afieq menyanyikan lagu era 1990-an tak kurang hebatnya," katanya.

TAJUL tidak menyangka lagu Malam Semakin Dingin mendapat sambutan
TAJUL tidak menyangka lagu Malam Semakin Dingin mendapat sambutan

Selain lagu Malam Semakin Dingin, Tajul dan Afieq sekali lagi berkolaborasi menyanyikan satu lagi lagu dari kumpulan Spin berjudul Resah Kerinduan.

"Lagu Resah Kerinduan bukan lagu yang popular berbanding lagu lain yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Spin. Jadi, kami angkat semula lagu ini dan dilancarkan pada 22 Februari lalu," katanya.

Berkongsi mengenai kehidupan peribadinya, bapa dua cahaya mata ini turut berkongsi kegusarannya berdepan pandemik Covid-19.

"Sebagai bapa, saya akui ada rasa paranoid dengan situasi pandemik yang melanda. Selagi boleh dielakkan, saya akan cuba dengan menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.

"Saya sama seperti orang lain, selalu keluar untuk mencari rezeki dan apabila pulang ke rumah, saya akan bersihkan diri sebelum berjumpa anak-anak dan isteri.

"Alhamdulillah, isteri juga sangat menjaga disiplin dan kebersihan untuk mengelakkan perkara yang tak diingini daripada berlaku," katanya.

Tajul berkanwin dengan isterinya, Nur Shamieza Eddie pada 10 Disember 2017 dan dikurniakan cahaya mata, Adriana Carissa, 3, serta Adrian Rifqy berusia sembilan bulan.

Terbaharu, Tajul juga diumumkan sebagai pemenang kategori Top 5 Hit Lokal dan Top 3 Karaoke Hit Popular pada Anugerah Muzik Top Joox, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 7:00 AM