TERIMA maklum balas positif daripada pengikut Instagram dan peminat.
TERIMA maklum balas positif daripada pengikut Instagram dan peminat.
Sudirman Mohd Tahir


LAGU Layu Di Hujung Mekar yang pernah dipopularkan kumpulan Rio kini kembali menghantui telinga pendengar apabila dinyanyikan semula dalam rakaman baharu oleh Afieq Shazwan.

Lagu yang dilancarkan sejak dua minggu lalu di saluran YouTube rasmi FMC Music itu mencecah 1.3 juta tontonan dan berada di tangga teratas carta trending.

Afieq, 24, atau nama sebenarnya Muhammad Shafieq Shazwan Zamros berkata, dia tidak menjangka lagu nyanyian semula itu mendapat sambutan baik.

"Alhamdulillah, saya bersyukur percubaan menyanyikan kembali lagu 'berhantu' era 1990-an mendapat sambutan dan sokongan pencinta muzik tanah air.

"Saya sangat gembira. Selain minat lagu ini, saya juga dapat menonjolkan kelainan dan kemampuan vokal saya dalam menyanyikan lagu berentak balada dan bernada tinggi," katanya.

Afieq yang sebelum ini turut merakamkan semula lagu kumpulan Spin berjudul Malam Semakin Dingin duet bersama Tajul mengakui, pada awalnya hanya menyanyikan lagu itu secara suka-suka di Instagram Story.

LAYU Di Hujung Mekar berada di tangga teratas carta trending.
LAYU Di Hujung Mekar berada di tangga teratas carta trending.

"Asalnya saya nyanyi lagu ini suka-suka saja. Saya rakam dan muat naik di Instagram Story. Saya terkejut sebab mendapat maklum balas positif daripada pengikut Instagram dan peminat.

"Sebenarnya selepas muat naik lagu ini di Instagram Story, baru saya tahu lagu ini juga diterbitkan oleh syarikat rakaman FMC Music. Jadi, apabila berbincang dengan FMC Music, kami bersepakat untuk rakam semula lagu ini," katanya.

Lagu Malam Semakin Dingin juga tular dan mencecah lebih 16 juta tontonan di YouTube rasmi FMC Music selepas dilancarkan dua bulan lalu.

"Selepas melihat sendiri impak lagu Malam Semakin Dingin dan Layu Di Hujung Mekar, saya yakin dan percaya bahawa sebenarnya selera pendengar dan penggemar muzik di Malaysia kini masih sukakan genre lagu yang sebegini.

"Buktinya apabila lagu ini dilancarkan ramai yang menghantar mesej peribadi di Instagram menyatakan bahawa lagu sebegini sedap didengar dan malar segar. Mereka mahukan banyak lagi. Kalau kita pergi ke pusat karaoke pun kebanyakan mereka yang berkunjung ke situ akan memilih lagu yang sebegini untuk dinyanyikan.

"Saya berterima kasih kepada FMC Music kerana percayakan bakat saya. Saya turut berterima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya nyanyian saya. Doakan semoga saya terus sukses dan dapat melebarkan sayap kerjaya saya sebagai penyanyi dan pelakon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:44 AM