ASHRAF teruja masih diberi peluang jadi hero drama.
ASHRAF teruja masih diberi peluang jadi hero drama.
Norhayati Nordin


Walaupun sudah melewati usia 40 tahun, namun pelakon Ashraf Muslim masih dipilih melakonkan watak utama dalam drama yang mengisi slot popular di stesen televisyen.

Baru-baru ini, Ashraf yang muncul dengan drama 3 Nota Cinta sebanyak 14 episod di TV3 mengakui dia teruja apabila masih diberi peluang menerajui slot kesukaan ramai, Akasia.

Ditemui pada sidang media virtual bersamanya, bapa kepada empat cahaya mata ini berkata, dia tidak sangka apabila masih ada permintaan untuknya dipilih sebagai hero bagi slot Akasia yang sememangnya menjadi impian ramai pelakon.

"Saya sebenarnya sudah lama tak berlakon drama di TV3. Jadi, apabila mendapat peluang untuk drama 3 Nota Cinta, ia rezeki yang tak mungkin ditolak. Malah, watak saya pula sebagai komposer lagu.

"Nyata sekali, ia watak yang tidak pernah saya lakonkan sebelum ini dan tentunya satu cabaran besar. Saya seorang pelakon dan watak komposer itu memerlukan saya tahu berkaitan muzik," katanya.

Menurut Ashraf, demi merealisasikan watak Zain lakonannya itu, dia terpaksa belajar bermain gitar termasuk menyanyi walaupun apa yang dibuat terasa janggal.

Ashraf tidak kisah kerana dia sudah mencuba yang terbaik.

Ditanya mengenai gandingannya dengan pelakon baharu, Sharifah Rose yang lebih muda sebagai heroin, Ashraf berkata, dia sedar jarak perbezaan usia sudah pasti ketara. Namun, mereka masih boleh memupuk keserasian.

"Dia adalah orang baharu. Mula-mula segan juga nak dekati dia sebab pertama kali bekerjasama. Tapi, kami tetap kena berbincang juga.

"Lagipun, saya tak nafikan nak 'build up' keserasian dengan pelakon baharu memang ambil masa. Cuma, perbincangan sangat penting untuk kami sama-sama dapat sampaikan kisah dalam cerita ini. Bekerja dengan Sharifah Rose tidak sesukar mana. Ini kerana dia boleh dibawa berbincang dan cepat belajar. Malah, saya terangkan juga wataknya sebagai Alisa itu banyak bermain emosi," katanya.

Bercerita mengenai watak Zain, Ashraf berkata, dia berasa watak itu masih sesuai dilakonkannya kerana digambarkan pemuda berusia 30-an. Jadi, dia perlu ambil kira usia watak.

"Dalam lakonan, saya kena lakonkan tuntutan watak itu mengikut perwatakan dan usianya. Bukan berlakon mengikut watak dan usia sebenar saya. Di sini, saya kena bahagikan yang mana 'real' dan sebaliknya.

"Kalau ikutkan watak diri sendiri, saya seorang yang serius, tetapi Zain bukan begitu. Dia seorang yang tenang dan komposer lagu berbakat. Jadi, tanggungjawab saya mainkan watak Zain itu dengan berkesan.

"Apa pun, saya bersyukur sudah berusaha melakonkan watak Zain sebaik mungkin. Saya percaya, sedikit sebanyak penonton dapat memahami Zain yang mempunyai sikap suka berjuang dalam hidup," katanya.

Ashraf juga berterima kasih dengan Sharifah Rose kerana memberi kerjasama baik kepadanya. Dia gembira bekerja dengan pelakon itu kerana mereka boleh saling membantu untuk watak masing-masing.

"Menerusi drama ini, memang tema utamanya percintaan. Bagaimana kuasa cinta itu boleh membawa kebahagiaan. Malah, sekiranya berdepan masalah sesama pasangan pastinya ada cara yang baik untuk menanganinya.

"Dalam drama ini Zain dan Alisa akhirnya berkahwin. Jadi, dalam hubungan rumah tangga itu pasti ada pasang surutnya. Justeru, sudah tentu Zain dan Alisa perlu mengharungi masalah dihadapi mereka bersama-sama," katanya.

Selain Ashraf dan Sharifah Rose, drama arahan Emi Suffian itu turut dibintangi Wani Kayrie, Muaz Fitri, Afifah Nasir dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 6:00 AM