Zaara Talita

Kuala Lumpur: "Benar, ketika itu kami sedang saling mengenali hati budi satu sama lain, namun rasanya kami lebih selesa sebagai kawan saja".

Itu komen pelakon Sharifah Rose, 23, apabila diminta mengulas mengenai statusnya bersama pelakon, Redza Rosli.

Ternyata cinta lokasi bukan sesuatu yang 'tabu' dalam kehidupan selebriti popular. Sudah banyak yang bertemu jodoh dari lokasi penggambaran, tinggal lagi mahu mengakui atau menafikan.

Biarpun penggambaran dan tayangan drama rantaian Kekasih Hati Mr Bodyguard sudah berakhir, namun kemesraan dua gandingan itu masih menjadi bualan walaupun tiada kenyataan rasmi keluar daripada mereka.

Rose atau nama sebenarnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira berkata, dia lebih selesa menganggap Redza sebagai rakan kerja dan mengakui bahawa lelaki itu banyak membantunya memberi tunjuk ajar dan kata-kata semangat ketika berlakon.

Perkongsian beberapa adegan mesra kedua-dua pelakon itu dalam laman sosial sekali gus menarik perhatian peminat apabila dilihat seolah-olah memberi restu hubungan mereka.

"Alhamdulillah drama itu dapat diterima baik penonton walaupun pada awalnya saya ada juga dikritik.'

"Redza banyak memberi semangat dan tunjuk ajar kepada saya untuk menjiwai watak dalam drama berkenaan," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, drama rantaian berjudul Do You Love Me, Captain? lakonannya bersama Ali Rezark, Azim Yusof dan Hazeeq Dean bakal bersiaran di slot Lestary.

Menurut Rose, drama berkenaan bersiaran bermula 13 April ini setiap Rabu hingga Sabtu jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 4:42 PM