BOMBA dikejarkan ke sebuah menara pemancar televisyen yang dibom tentera Rusia. FOTO AFP
BOMBA dikejarkan ke sebuah menara pemancar televisyen yang dibom tentera Rusia. FOTO AFP
AFP

Kyiv: Serangan udara Rusia memusnahkan sebuah blok kediaman di Kharkiv iaitu bandar kedua di Ukraine dan menara televisyen utama di sini.

Presiden Ukraine Volodymr Zelensky menuduh tindakan Kremlin sebagai jenayah perang ketika jumlah orang awam dalam pencerobohan itu meningkat.

Walaupun terdapat sekatan dan amaran krisis kemanusiaan, serangan terbaharu pada hari keenam pencerobohan Rusia berlaku ketika konvoi tentera besar-besaran mara ke ibu negara.

Moscow memberi amaran kepada penduduk ketakutan yang tinggal berhampiran infrastruktur keselamatan untuk meninggalkan kediaman mereka.

"Ini adalah keganasan negara di pihak Rusia," dakwa Zelensky yang menuduh Moscow melakukan jenayah perang di Kharkiv.

Selepas panggilan dengan Presiden AS Joe Biden, Zelensky memuat naik ciapan, "Kita mesti menghentikan penceroboh itu secepat mungkin."

Meskipun Rusia menafikan menyasarkan infrastruktur awam, Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson pada hari Selasa menyifatkan pengeboman ke atas Kharkiv sebagai tindakan jelik dan mengingatkan pembunuhan beramai-ramai orang awam di Sarajevo pada 1990-an.

Lapan individu dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas sebuah bangunan kediaman di bandar kedua terbesar di Ukraine dan pegawai memaklumkan 10 lagi maut dalam serangan Rusia ke atas kompleks kerajaan tempatan.

Serangan menara pemancar TV Kyiv menyebabkan lima individu terbunuh dan melumpuhkan beberapa penyiaran saluran stesen televisyen , kata pegawai Ukraine, tetapi meninggalkan struktur itu utuh.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa sudah membuka siasatan jenayah perang terhadap Rusia.

Ukraine mengesahkan lebih 350 orang awam, termasuk 14 kanak-kanak terbunuh dalam konflik itu.

Di selatan Ukraine, bandar Mariupol di Laut Azov, bekalan elektrik terputus selepas pengeboman.

Di Kherson di Laut Hitam, terdapat pusat pemeriksaan Rusia mengepung bandar berkenaan.

Dalam kemenangan penting bagi Moscow, Kementerian Pertahanan Rusia berkata, tenteranya sudah 'bergabung' dengan pemberontak pro-Moscow dari timur Ukraine di sepanjang pantai Laut Azov.

Bagaimanapun, tentera Ukraine berkata. walaupun pencerobohan oleh 'kumpulan sabotaj', tentera Rusia masih belum pun menawan mana-mana bandar utama.

Ketika lawatan ke pangkalan udara di Poland, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Jens Stoltenberg berkata Presiden Rusia Vladimir Putin sudah menghancurkan keamanan di Eropah

Sementara itu, Zelensky mengulangi rayuan mendesak supaya negaranya diterima masuk ke Kesatuan Eropah.

"Buktikan anda tidak meninggalkan kami dan anda benar-benar orang Eropah," katanya kepada Ahli Parlimen Eropah dalam ucapan video kepada Parlimen Eropah.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 10:13 AM