AFP

Kyiv: Konflik Rusia dan Ukraine sudah sebulan berlaku menjadikan ia perang terburuk di Eropah pada dekad ini.

Perang dua negara itu menyebabkan ratusan orang awam terkorban, termasuk kanak-kanak, selain lebih 10 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Presiden Rusia, Vladimir Putin sebelum ini mengumumkan 'operasi khas ketenteraan' bagi demiliterisasi dan menghapuskan unsur neo-Nazi di negara bekas Kesatuan Soviet itu dan melindungi mereka yang pro-Rusia di negara itu.

Putin turut memberi amaran kepada komuniti antarabangsa yang menyekat keputusannya itu.

Pencerobohan bermula dengan serangan misil dari udara di beberapa bandar utama di Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bertegas untuk terus berada di Kyiv dan mengetuai peperangan itu.

Barat mempertimbangkan sekatan terhadap Rusia yang dianggap tidak pernah berlaku sebelum ini dan bantuan ketenteraan untuk Ukraine.

Kebanyakan bank Rusia disekat daripada mengakses sistem antara bank, Swift.

Ruang udara ditutup kepada pesawat Rusia, selain pasukan dan atlet negara itu tidak dibenar menyertai acara sukan dan kebudayaan di peringkat global.

KEADAAN sebulan selepas perang di Kyiv. FOTO EPA
KEADAAN sebulan selepas perang di Kyiv. FOTO EPA

Dalam keadaan tentera Rusia yang terkepung, Putin meletakkan pasukan nuklearnya dalam keadaan berjaga-jaga, memetik kenyataan keras dikeluarkan ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Tindakan dramatik itu dilihat sebagai amaran kepada Nato supaya tidak campur tangan dan membantu Ukraine.

Semasa rundingan damai pertama antara Kyiv dan Moscow, Rusia menyatakan tuntutan pengiktirafan kedaulatan Rusia ke atas Crimea dan jaminan negara jirannya itu kekal berkecuali.

Zelensky kemudian membuat rayuan untuk menganggotai Kesatuan Eropah (EU) secepat mungkin.

Tentera Rusia menempatkan pangkalannya di selatan dengan mengepung pelabuhan strategik Mariupol dalam usaha untuk menghubungkan wilayah yang dikuasai pemberontak pro-Rusia dengan semenanjung Crimea.

Pada 3 Mac lalu, Kherson di selatan Ukraine menjadi bandar pertama yang ditakluk Rusia.

Ketika konflik ini juga, Rusia menggubal undang-undang baharu yang menghukum sebarang penyebaran berita palsu mengenai 'operasi khas ketenteraan' di Ukraine, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 6:30 AM