JAHIDAH yang masih koma dibenarkan keluar hospital semalam. FOTO arkib NSTP
JAHIDAH yang masih koma dibenarkan keluar hospital semalam. FOTO arkib NSTP
Ahmad Hasbi


Seremban: "Bila letak Nufail kat riba ibu dia, hati sendiri sebak nampak kakak mengalir air mata... Dia tak mampu nak peluk, nak cakap."

Demikian kata Fazariah Nordin, 38, adik kepada Jahidah Nordin, 43, wanita yang melahirkan anak dalam keadaan koma secara pembedahan pada 30 November lalu selepas parah dipukul suaminya dalam kejadian pertengahan tahun ini.

Reaksi berkenaan dikongsikan Fazariah menerusi laman sosialnya selepas wanita berkenaan yang berpeluang untuk kali pertama menemui anaknya selepas bersalin kerana Jahidah terpaksa ditahan wad kerana perlu dipantau.

Fazariah berkata, kakaknya dibenarkan keluar hospital semalam, selepas sebulan ditahan wad sekali gus berpeluang berjumpa anaknya walaupun belum sedar daripada koma.

Katanya, keadaan Jahidah masih sama, tiada sebarang perubahan dan perlu dipantau dari semasa ke semasa.

"Kakak sudah dibenarkan keluar semalam, namun keadaan perlu dipantau kerana luka pembedahannya belum kering. Kami difahamkan lukanya terpaksa dijahit semula dua hari lalu.

"Keadaan kakak masih sama seperti sebelum ini. Dia belum memberikan apa-apa respons," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban di sini, secara pembedahan pada 30 November lalu.

Bagaimanapun, wanita berkenaan terpaksa menjalani pembedahan kedua kira-kira seminggu selepas bersalin kerana luka pembedahan dijangkiti kuman.

Harian Metro pada Mei lalu melaporkan penjawat awam berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu, Johor selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 3:55 PM