Norhayati Nordin


BAGI peminat drama Korea di negara ini, pastinya takkan pernah melupakan lakonan mantap Rain bersama Song Hye-Kyo dalam Full House yang pernah ditayangkan pada 2004. Sejak itu, nama Rain cukup 'mekar' di hati peminat tempatan terutama wanita.

Seiring masa berlalu, Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-hoon, 40, tetap aktif dalam karier seni lakonnya hingga kini dan masih menjadi pilihan pengarah serta produksi untuk melakonkan karakter utama.

Bahkan, dikatakan juga bapa kepada dua anak ini antara pelakon lelaki Korea Selatan yang masih menerima bayaran tinggi. Secara tak langsung, kedudukan kukuh Rain sebagai pelakon terkenal tidak tergugat dengan kehadiran bakat baharu.

Ditambah kisah kebahagian rumah tangganya dengan pelakon Kim Tae-hee yang dibina sejak 2017 juga cukup dikagumi ramai. Pasangan sejoli ini dilihat begitu profesional menguruskan kehidupan peribadi mereka dan kerjaya sebagai selebriti popular.

Apa pun, permulaan yang baik buat Rain dalam karier lakonannya tahun ini menerusi drama Ghost Doctor arahan Boo Sung Chul yang disiarkan tvN pada setiap Selasa dan Rabu, jam 9.15 malam. Drama sebanyak 16 episod ini amat menghiburkan.

Rain sebagai watak Cha Young-min adalah pakar bedah toraks genius. Namun, dia koma selepas terbabit kemalangan dan

akhirnya 'meminjam tubuh' doktor pelatih, Ko Seung-tak (lakonan Kim Bum) untuk terus menyelamatkan pesakit.

GANDINGAN padu Rain dan Kim Bum amat serasi.
GANDINGAN padu Rain dan Kim Bum amat serasi.

Menonton lakonan Rain dan Kim Bum dalam Ghost Doctor nyata menampakkan keserasian 'padu' mereka untuk memastikan kaitan sesama watak masing-masing dapat dibawa dengan berkesan.

Rain yang ditemui ketika sidang media drama itu berdasarkan laporan Soompi berkata, dia tidak menduga mampu mewujudkan keserasian yang hebat dengan Kim Bum untuk drama Ghost Doctor berkenaan. Katanya, keserasian dijalin mereka sukar digambar dengan perkataan.

"Tak tahu nak kata apa, bagaimana gandingan kami boleh serasi dan sebagus itu. Ketika penggambaran, kami hanya perlu tahu tindakan dan pergerakan masing-masing untuk menciptanya dengan tepat.

"Sukar untuk menggambarkan 'chemistry' (keserasian) yang sudah kami bentuk antara Cha Young-min dan Ko Seung-tak. Ia satu hubungan baik yang rapat serta saling memahami antara satu sama lain.

"Keserasian kami 'tidak terkata'. Harapan saya semoga penonton akan menganggap saya sebagai pencerita kepada perjalanan hidup Cha Young-min yang berusaha untuk sedar semula daripada koma," katanya.

RAIN masih mendapat bayaran tinggi untuk tawaran lakonan.
RAIN masih mendapat bayaran tinggi untuk tawaran lakonan.

Apa pun, Rain berkata, dia sudah melakukan sebaik mungkin untuk watak Cha Young-min. Katanya, dia sangat bekerja keras dan perlu memberi lebih tumpuan daripada biasa yang boleh dianggap agak mencabar.

Selain Rain dan Kim Bum, Ghost Doctor turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Uee sebagai Jang Se-jin, Son Na-eun (Oh Soo-jeong), Kim Jae Yong (Lee Seon-ho), Sung Dong-il (Tess) dan Lee Tae-sung (Jang Min-ho).

RAIN lakonkan watak Cha Young-min dalam Ghost Doctor.
RAIN lakonkan watak Cha Young-min dalam Ghost Doctor.

DOKTOR SOMBONG INSAF

Menyorot sinopsis ringkas Ghost Doctor, ia mengisahkan sikap Cha Young-min yang awalnya sebagai doktor sombong dan pentingkan diri. Hinggakan dia kurang disenangi ramai tanpa disedarinya.

Bagaimanapun, ada kisah berlaku di sebalik sikap Cha Young-min itu. Apatah lagi, dia dibelenggu rasa kecewa akibat ditinggalkan kekasih, Jang Se-jin yang belajar ke luar negara secara tiba-tiba.

Selepas bertahun-tahun berlalu, mereka akhirnya bertemu semula di hospital dan tanpa sempat memperbaiki hubungan lama yang terputus itu, Cha Young-min ditimpa kemalangan dan koma.

Rohnya yang merayau dalam hospital hanya boleh dilihat dan berinteraksi dengan Ko Seung-tak, berikutan pemuda itu memiliki 'deria keenam'. Malah, sikap pelik Ko Seung-tak yang sering bercakap sendirian menimbulkan tanda tanya.

Namun, selama mereka 'bergabung tubuh', banyak juga kejadian pelik berlaku. Antaranya, Ko Seung-tak berjaya menjadi doktor bedah yang hebat terutama menyelamatkan pesakit kronik dan ada peluang tipis untuk hidup.

Kini berbekalkan beberapa episod lagi, debaran semakin dirasai apakah Cha Young-min akan bangkit semula dan membongkarkan kisah sebenar di sebalik kemalangan yang menimpanya? Apakah sebenarnya yang berlaku?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 6:00 AM