MIN Young.
MIN Young.
Ardini Sophia Sina


LAKONAN romantis Park Min Young dan Kim Jae Wook menerusi drama Her Private Life mengundang spekulasi apabila ramai peminat yakin dua pelakon itu sedang dilamun cinta.

Dakwaan itu timbul apabila babak mereka berdua kelihatan natural dan tidak dibuat-buat. Setiap lontaran dialog cinta mahupun pandangan mata tampak ikhlas.

Bagaimanapun, Min Young menegaskan itu hanyalah lakonan dan gembira kerana penonton menyukai gandingannya dengan Jae Wook.

Min Young menegaskan dia sentiasa memberikan yang terbaik walau siapa pun rakan gandingannya.

“Tidak ada apa-apa yang boleh saya katakan kecuali terima kasih di atas segala sokongan peminat. Setiap kali menjayakan sesuatu watak, saya akan buat sehabis baik. Saya lega penonton boleh terima lakonan saya.

“Saya tidak tahu bagaimana spekulasi itu timbul tetapi ini bukanlah kali pertama. Tahun lalu, ketika drama What’s Wrong With Secretary Kim? ditayangkan, gosip serupa juga hangat diperkatakan.

“Bagaimanapun, saya tidak kecil hati. Biarlah penonton dengan andaian mereka. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon. Terpulang pada penonton untuk menilai,” katanya.

Melihatkan keserasian Min Young dan Jae Wook, ada antara peminat mendoakan agar mereka benar-benar bercinta dalam kehidupan sebenar.

Enggan mengulas lanjut perkara itu, Min Young menegaskan masih banyak perkara lain yang perlu diutamakan termasuklah deretan drama akan dibintanginya selepas ini.

“Saya sudah biasa digosipkan dengan rakan gandingan. Ia bukan perkara baru dan saya sedikit pun tidak risau.

“Paling penting bagi saya penonton berpuas hati dan terhibur dengan lakonan yang dipersembahkan. Semoga saya dapat berikan yang terbaik dalam setiap watak yang dijayakan,” katanya.

Menyukai drama komedi romantis, Min Young tidak kesah sekiranya dia dilabel ratu genre itu. Dia sukakan suasana kerja drama sebegitu dan berharap ada banyak lagi tawaran selepas ini.

“Saya suka drama komedi romantis kerana banyak dialog kelakar malah kru juga sering bergurau senda sekali gus membuatkan suasana kerja menjadi ceria.

“Jika ada lagi tawaran drama genre ini, pasti saya terima. Bagaimanapun, saya juga tidak menolak sekiranya diberikan naskhah dan watak serius.

“Sebagai pelakon, saya kena bersedia bawa apa sahaja watak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 4:30 AM