Mohd Azman Yacob
Mohd Azman Yacob
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila mendapatkan perkhidmatan perubatan estetik bagi mengelak berlaku komplikasi kesihatan jika menggunakan khidmat daripada mereka yang tidak berdaftar.

Pengarah Bahagian Amalan KKM, Dr Mohd Azman Yacob berkata, perkhidmatan perubatan estetik hanya boleh diberikan oleh pengamal perubatan berdaftar yang bertauliah di premis yang berdaftar atau dilesenkan di bawah KKM.

Menurutnya, hanya pengamal perubatan berdaftar yang ditauliahkan dengan Letter of Credentialing & Privileging of Aesthetic Medical Practice (LCP) sahaja yang dibenarkan untuk menjalankan prosedur perubatan estetik seperti pembedahan plastik (termasuk rhinoplasty, alarplasty, liposuction, kelopak matablepharoplasty dan sebagainya), suntikan botox dan filler, laser, High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) dan lain-lain lagi.

"Pengamal perubatan yang ditauliahkan LCP ini disenaraikan di dalam Daftar Kebangsaan (National Registry of Registered Medical Practitioner Practising Aesthetic Medical Practice) yang boleh dicapai melalui pautan https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2118.

"Semua pengamal perubatan berdaftar ini hanya dibenarkan memberi perkhidmatan perubatan estetik di premis yang berdaftar atau dilesenkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586]," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Harian Metro melalui laporan khas secara eksklusif melaporkan terdapat lebih 20 pusat kecantikan atau medispa di Lembah Klang dan beberapa negeri di Utara serta Selatan tanah air didalangi pakar bedah warga asing yang menjalankan prosedur pembedahan untuk rawatan berkenaan dengan harga bajet.

Biarpun tidak mempunyai lesen sah atau tauliah, pusat kecantikan terbabit aktif mempromosikannya di media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook dengan memuat naik gambar atau video testimoni pelanggan yang sudah berjaya menjalani pembedahan berkenaan selain 'menjaja' pembedahan itu dilakukan 'pakar luar negara'.

Dalam laporan sama, akhbar ini mendedahkan pengakuan seorang mangsa yang mengalami kecacatan kekal selepas menjalani prosedur kecantikan disediakan 'pakar asing' terbabit yang mana hidungnya kini menjadi senget.

Sementara itu, Dr Mohd Azman berkata, senarai premis berdaftar boleh dicapai melalui pautan www.medicalprac.moh.gov.my.

"Orang ramai perlu mengelakkan daripada mendapatkan perkhidmatan perubatan estetik (terutama prosedur-prosedur invasif) yang ditawarkan di rumah (door to door), hotel, spa/salun kecantikan atau premis lain yang meragukan.

"Ini kerana prosedur berpotensi untuk menyebabkan komplikasi kesihatan, kecacatan serta kematian kepada pelanggan jika dikendalikan oleh individu yang tidak berkelayakan," katanya.

Beliau berkata, prosedur perubatan estetik juga mempunyai senarai kontraindikasi yang hanya boleh dikenal pasti oleh pengamal perubatan sahaja.

"KKM akan terus memantau dan menjalankan aktiviti penguatkuasaan ke atas individu yang melakukan kesalahan undang-undang dalam perkhidmatan kesihatan di negara ini, dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain yang terbabit seperti Majlis Perubatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan sebagainya.

"Sebarang aduan berkenaan perkhidmatan perubatan estetik boleh disalurkan kepada [email protected] atau [email protected]," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 2:48 PM