Siti Rohana Idris


Tumpat: Tiga maut dengan dua daripadanya rentung selepas sebuah kereta terbabas dan terbakar di Jalan Wakaf Bharu - Palekbang, di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, seorang daripada mangsa adalah lelaki berumur 33 tahun, manakala dua lagi sedang dikenal pasti.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan Honda HR-V yang dari Cabang Tiga Kepulau menghala ke Wakaf Bharu.

KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca

"Sebaik tiba di lokasi, kereta itu dipercayai terbabas menyebabkan seorang daripada mereka tercampak keluar beberapa meter (m) dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dua lagi rakannya rentung dalam kereta yang sedang terbakar dan kita sedang mengenal pasti identiti mereka," katanya ketika sedang dihubungi di sini, hari ini.

Azmir berkata, kejadian itu turut menyebabkan sebuah lagi kereta terbakar iaitu Proton Wira milik penduduk kampung yang diparkir berhampiran, serta sebuah rumah kosong yang 30 peratus terbakar.

Beliau berkata, semua mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.04 pagi.

"Sebaik tiba, kami dapati api sedang marak dan kelihatan seorang mangsa berada beberapa m sahaja dari kereta itu dan sudah meninggal dunia, manakala dua lagi masih dalam kenderaan yang sedang terbakar.

"Kereta itu dipercayai terbabas sebelum terbakar dan turut terlanggar tiang garaj sebuah rumah kosong yang menyebabkan rumah itu turut mengalami kebakaran 30 peratus, manakala sebuah Proton Wira milik seorang penduduk juga hangus.

"Api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 3.35 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 9:29 AM