Balqis Jazimah Zahari


Pasir Salak: Siasatan polis mendapati punca kejadian buli di sekolah berasrama penuh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, baru-baru ini, akibat tindakan mangsa menasihati seorang daripada suspek untuk berhenti menonton video lucah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia hasil siasatan dan keterangan yang diperolehi daripada mangsa buli berkenaan.

"Kita sudah menemubual mangsa dan mendapati punca pergaduhan atau mengapa dibuli kerana mangsa dikatakan menasihati salah seorang suspek supaya jangan menonton video lucah melalui telefon bimbit.

"Mangsa mengatakan kalau tidak berhenti menonton video lucah dia akan mengadu dengan guru atau warden.

"Jadi, ia dikatakan menjadi punca suspek bertindak untuk memukul atau membuli mangsa," katanya sebagai mengulas perkembangan terkini berhubung insiden buli di MRSM Kuala Kangsar di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, keadaan itu membuat enam suspek marah dan terdapat seorang pelajar Tingkatan 3 yang mengarahkan enam orang suspek untuk memukul mangsa.

"Pelajar Tingkatan 3 berusia 15 tahun iaitu salah seorang suspek yang ditahan mengarahkan enam suspek untuk menumbuk dan juga menendang mangsa," katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak Tahun 2021 di sini, hari ini.

Beliau berkata, dimaklumkan bahawa pada 10 Disember kesemua pelajar pulang ke kediaman masing-masing kerana cuti semester iaitu sehari selepas insiden buli terbabit.

Menurutnya, setakat ini pihaknya sudah merakam percakapan saksi ekoran daripada video yang tular di Twitter dan Facebook.

"Setakat ini polis sudah membuat tangkapan seramai 10 individu yang dikatakan terbabit dengan insiden terbabit termasuk rakan-rakan yang bersubahat dalam insiden.

"Seramai lapan saksi dipanggil dan diambil keterangan, kemudian kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai rakam percakapan.

"Dalam kes ini ini juga kita merampas 11 telefon bimbit yang akan kita hantar ke forensik untuk melihat kandungan di dalamnya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut sebaik selepas semua siasatan selesai.

Katanya, mangsa ketika ini masih menerima rawatan di sebuah hospital di Selangor dan dilaporkan pegawai perubatan mangsa dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang gejala serius.

Pada 9 Disember lalu, beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, hingga menerima kecaman orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 1:26 PM