Zahratulhayat Mat Arif


Ipoh: Polis menahan empat pelajar sekolah berasrama di Kuala Kangsar yang menjadi suspek utama insiden buli terhadap seorang pelajar lain, sebelum video mengenainya tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, empat pelajar berusia 13 tahun itu ditahan selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara 6 petang hingga 7 malam tadi.

"Kami sudah menahan empat pelajar petang bagi siasatan lanjut," katanya sewaktu dihubungi, malam tadi.

Terdahulu, Mior Faridalathrash berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

Beliau berkata, semua lapan pelajar termasuk mangsa sudah dikenal pasti dengan polis memanggil mereka bagi diambil keterangan.

Menurutnya, selain itu polis memanggil seorang pengguna akaun media sosial yang dikenal pasti menyebarkan video mengenai insiden buli terbabit.

"Siasatan awal mendapati bahawa ia berlaku semalam (kelmarin) antara 1 hingga 2 pagi, membabitkan tujuh pelajar selain seorang mangsa itu.

"Satu laporan polis dibuat oleh pengetua sekolah berkenaan, hari ini (semalam) berikutan penyebaran video terbabit yang menarik perhatian ramai," katanya.

Menerusi video tular itu, kelihatan sekumpulan pelajar mengambil giliran untuk menumbuk serta menendang seorang pelajar lain di asrama sekolah.

Beberapa lagi video berdurasi antara 13 hingga 30 saat turut dimuat naik memperlihatkan mangsa diarahkan kekal berdiri sebelum dia ditendang dari arah belakang selain ditumbuk beberapa kali pada bahagian perut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 12:49 AM