Sudirman Mohd Tahir


KEJAYAAN single terdahulu, Sampai Bila yang melakar pelbagai catatan manis dalam kerjaya nyanyian Misha Omar, membuatkan peminat tidak berhenti bertanyakan mengenai single terbaharu.

Bagi Misha, desakan peminat tidak sekali-kali memberinya tekanan, sebaliknya menyifatkan keterujaan peminat itu sebagai isyarat kehadirannya sentiasa dirindui.

Biarpun terpaksa menanti lama, Misha percaya, penantian peminat itu tidak sia-sia kerana sebagai penyanyi yang sudah 18 tahun mengatur langkah, dia begitu mementingkan ketelitian dalam pembikinan single terbaharu.

Hampir dua tahun selepas Sampai Bila dilancarkan, anak kelahiran Kelantan itu berkongsi berita gembira apabila single terbaharunya, Tanpa Rela bakal menemui peminat pada pertengahan bulan depan.

Bercerita mengenai lagu itu, Misha berkata, single itu memberinya kepuasan tersendiri, apatah lagi apabila berpeluang memberikan sentuhan untuk lagu berkenaan selaku pencipta lagu.

Ia juga bertitik tolak daripada sambutan luar biasa peminat ketika menjayakan konsert This Is Misha di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), setahun lalu.

MISHA, Syafinaz (kanan) dan Sze Wan bekerjasama dalam produksi single terbaharu Tanpa Rela.
MISHA, Syafinaz (kanan) dan Sze Wan bekerjasama dalam produksi single terbaharu Tanpa Rela.

"Selepas 18 tahun dalam industri muzik, saya terfikir mengapa tidak memulakan langkah ke hadapan dengan menghasilkan melodi.

"Biarpun proses penghasilan Tanpa Rela menuntut perjalanan yang panjang, saya bertuah kerana niat itu dipermudahkan apabila dipertemukan dengan pengarah muzik, Lee Sze Wan ketika menjayakan Konsert Soul Sisters di Istana Budaya, April tahun lalu.

"Dari situ, kami mula rapat hingga tercetus idea untuk menjalin kerjasama dalam penghasilan single terbaharu ini. Saya bersyukur kerana Sze Wan banyak memberikan tunjuk ajar, malah sentiasa sabar melayani kerenah saya yang masih hijau dari sudut komposisi lagu,"

katanya.

Mengakui kejayaan Sampai Bila turut mendorongnya untuk meletakkan standard lebih tinggi dalam penghasilan single terbaharu, Misha berkata, perkara itu membuatkan dia begitu teliti sebelum melangkah ke studio rakaman bulan lalu.

Apatah lagi, Tanpa Rela adalah single pertama ciptaannya, sekali gus berharap, lagu itu memenuhi kehendak peminat yang sentiasa dahagakan sesuatu yang berbeza dalam penyampaiannya.

Malah, Misha mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas vokal secara lebih intensif bersama pensyarah vokal berkaliber, Datuk Syafinaz Selamat demi memastikan dia mampu memberikan penghayatan dan penyampaian terbaik untuk lagu itu.

"Tanpa Rela memberikan banyak pengalaman manis untuk saya kenang. Tidak hanya menjadi lagu pertama yang dihasilkan, saya juga teruja kerana buat kali pertama dapat bekerjasama dengan Datuk Syafinaz di studio rakaman sebagai penasihat dan pengarah vokal.

"Ia memberikan suasana yang berbeza buat saya. Sebelum ini, saya hanya melangkah ke studio rakaman untuk memasukkan vokal apabila semua proses awal sudah selesai.

"Tetapi untuk lagu ini saya terbabit dari awal. Bermula dengan mencari idea untuk menghasilkan melodi, seterusnya berbincang dengan Sze Wan dari segi susunan muzik, saya juga terbabit dalam penulisan
lirik.

"Apabila semua proses selesai, saya mendapatkan khidmat Datuk Syafinaz untuk membantu dari sudut penghayatan dan penyampaian lagu. Ia bukan perjalanan yang mudah, malah kami banyak berbincang bagi menceritakan emosi yang diluahkan menerusi setiap bait lirik.

"Untuk karya pertama ini, saya tidak mahu syok sendiri, sebaliknya saya turut membuka ruang untuk bekerjasama dengan banyak pihak kerana mahu memberikan yang terbaik kepada semua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 6:00 AM