KONSERT Patriotik Tanah Airku akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 November ini.
KONSERT Patriotik Tanah Airku akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 November ini.
Najiy Jefri


PENAMPILAN tiga bakat muda terkenal iaitu Syamel, Ernie Zakri dan Aina Abdul bakal menghangatkan Konsert Patriotik Tanah Airku di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 November ini.

Konsert yang sepatutnya berlangsung ketika Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 itu terpaksa ditunda ke bulan November berikutan penutupan Istana Budaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Apa yang menarik, konsert ini mendapat sentuhan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dengan gabungan elemen lakonan, gerak tari dan puisi yang mengangkat tema kemerdekaan, patriotisme dan semangat kekitaan sepanjang negara mengharungi kriris pandemik Covid-19.

Selain pembabitan tiga artis berbakat besar itu, konsert terbabit turut dimeriahkan oleh Fitri Hiswandy, Hairi Safwan serta pendeklamasi puisi Ahmad Shukri Abdullah.

Sebanyak empat segmen dengan 18 buah lagu akan dipersembahkan pada konsert yang diketuai oleh pengarah muzik dan konduktor OSK, Nasran Nawi.

Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya, Zaifri Husin berkata, pemilihan semua artis dibuat secara teliti bersesuaian dengan konsep yang dibawakan.

"Kami tidak pernah mengehadkan umur artis sebaliknya pemilihan artis dibuat berdasarkan konsep konsert yang dibawakan.

"Bagi konsert ini, kami cuba untuk menarik minat golongan muda untuk menyaksikan konsert patriotik ini. Kami percaya pemilihan artis yang dibuat akan menghangatkan lagi acara ini.

"Pihak kami juga teruja untuk merasai semangat patriotik menerusi lagu yang disampaikan barisan artis kali ini," katanya.

Tiket Konsert Patriotik Tanah Airku akan mula dijual di Kaunter Box Office, Istana Budaya bermula 1 November ini.

FITRI Hiswady dan Aina antara penyanyi yang membuat persembahan pada konsert terbabit.
FITRI Hiswady dan Aina antara penyanyi yang membuat persembahan pada konsert terbabit.

Tiket dijual bermula harga RM88, RM108 dan RM118.

Zaifri berkata, kali ini pihaknya akan meletakkan syarat hanya menjual empat tiket kepada setiap pembeli tiket konsert anjuran mereka.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada lebih ramai untuk mendapatkan tiket konsert anjuran Istana Budaya.

"Tindakan itu juga dilakukan berikutan kekecohan mengenai penjualan tiket Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia Bersama Bintang Misha Omar menjadi bualan hangat di media sosial sejak semalam apabila ramai pembeli tidak berjaya membeli tiket di kaunter yang dibuka di Istana Budaya.

"Hasil perbincangan dengan pihak pemasaran Istana Budaya, kami mengambil keputusan untuk mengehadkan penjualan empat tiket saja kepada setiap seorang untuk konsert yang lain selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, Aina Abdul meluahkan rasa teruja apabila bakal mengadakan konsert di Istana Budaya.

"Membuat persembahan di Istana Budaya adalah salah satu impian peribadi. Lagipun saya sudah lama tidak membuat persembahan di depan khalayak ramai.

"Konsert ini bakal menyaksikan gabungan yang cukup unik dan pastinya ia sebuah persembahan yang berskala besar kerana membabitkan OSK.

"Saya sudah melakukan beberapa persediaan untuk konsert ini dan diharapkan semuanya berjalan lancar dan mendapat sokongan daripada anda semua," katanya.

Menurut Aina, selain lagu patriotik dia juga akan membawakan lagunya di pentas Istana Budaya.

"Banyak elemen menarik yang bakal kami sajikan kepada penonton nanti. Bukan hanya lagu patriotik tapi kami semua akan membawakan lagu popular kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:45 AM