KONSERT Soul Sisters akan diadakan di Panggung Sari Istana Budaya pada 5 dan 6 April ini.
KONSERT Soul Sisters akan diadakan di Panggung Sari Istana Budaya pada 5 dan 6 April ini.
Najiy Jefri

SELEPAS empat bulan dilancarkan, konsert Soul Sisters yang menggabungkan paduan suara penyanyi popular Misha Omar, Siti Sarah dan Noryn Aziz mendapat sambutan menggalakkan dengan 70 peratus tiket sudah disambar peminat.

Lebih menarik, ketiga-tiga selebriti ini giat mengikuti kelas latihan vokal bersama jurulatih profesional, Datuk Syafinaz Selamat bagi memastikan acara penuh sejarah itu berjalan dengan jayanya di Panggung Sari Istana Budaya pada 5 dan 6 April ini.

Konsert yang dinamakan Soul Sisters itu bakal menampilkan segmen khas mengenang kembali kumpulan wanita popular, Feminin.

Menurut penganjur, Edd Razhe daripada Edd Razhe Entertainment, dia meminta tiga penyanyi itu membuat persembahan ‘tribute’ untuk kumpulan terbabit sebagai tanda penghargaan.

Katanya, dia pernah menguruskan kerjaya seni kumpulan popular terbabit lebih dua dekad lalu.

“Saya minta mereka untuk membuat persembahan tribute untuk Feminin sebagai penghargaan kepada kumpulan itu.

“Menerusi segmen itu, ketiga-ketiga penyanyi ini akan menyampaikan tiga lagu hit Feminin iaitu Untukmu, Rindu dan Kini.

“Saya juga dimaklumkan Feminin akan hadir menyaksikan konsert ini. Selain segmen khas Feminin, kami juga sudah merangka beberapa kejutan buat penonton yang hadir nanti,” katanya.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu turut menyajikan persembahan 33 lagu solo dan secara medley dalam beberapa segmen. Semua lagu digubah semula oleh pengarah muzik, Datuk Nasser Abu Kassim dan Sze Wan.

GANDINGAN mantap (dari kanan) Siti Sarah, Misha Omar dan Noryn Aziz menyanyikan 16 lagu secara medley menerusi empat segmen. FOTO Owee Ah Chun
GANDINGAN mantap (dari kanan) Siti Sarah, Misha Omar dan Noryn Aziz menyanyikan 16 lagu secara medley menerusi empat segmen. FOTO Owee Ah Chun

Tekanan

Mengakui berdepan tekanan menjelang konsert Soul Sisters yang bakal dipentaskan kurang seminggu lagi, Misha Omar, Siti Sarah dan Noryn Aziz berharap mereka dapat memberikan persembahan yang unik serta mencatat sejarah tersendiri.

Sarah berkata, dia percaya keserasian yang sudah lama wujud di antara mereka akan membantu menghilangkan rasa gemuruh dan akan saling bergantungan antara satu sama lain.

“Apabila berkongsi pentas, secara automatik kita menyanyi secara harmoni tanpa perlu berlawan vokal.

“Saya, Misha dan Noryn sudah kenal karakter suara masing-masing, begitu juga dengan tanggungjawab kami. Keserasian itu memang sudah lama wujud.

“Kadangkala apabila sebut sepatah perkataan, kami sudah faham apa yang dimaksudkan walaupun orang lain masih tertanya-tanya apa yang kami bualkan,” katanya.

Bagi Misha, dia yang kini giat menjalani latihan vokal bersama Syafinaz mengaku cabaran terbesar yang bakal dihadapi mereka adalah untuk memastikan tiada vokal yang lebih menyerlah sebaliknya kesamarataan.

“Saya, Sarah dan Noryn sudah selasa menyanyikan dan menjayakan persembahan sendiri.

“Namun, apabila digabungkan bertiga begini, satu perkara yang perlu diingat, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri. Kita tak boleh memasang niat untuk kelihatan lebih menyerlah berbanding dua penyanyi lain.

“Alhamdulillah, kami kini kerap menjalani latihan bertiga bersama Syafinaz untuk mendapatkan nyanyian harmoni supaya masing-masing dapat memperlihatkan kekuatan vokal tanpa perlu dibayangi sesiapa,” katanya.

Noryn pula berkata, konsert terbabit bukan medan untuk berlawan suara sebaliknya nyanyian harmoni yang akan membentuk tenaga kepada jiwa penonton.

“Walaupun suara kami berbeza dan mempunyai nada yang tersendiri, jika menyanyi serentak, penonton tetap akan dapat mendengar suara masing-masing dengan jelas. Setiap daripada kami ada keunikan sendiri.

“Kalau saya mengadakan persembahan bersama band, selalunya saya akan ‘main langgar’ kerana sudah tahu mengawal pentas apabila berlaku perkara tidak diingini. Namun untuk konsert ini, kami kena ikut rukun yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Syafinaz menjelaskan, latihan yang ketat perlu dibuat bagi memastikan ketiga-tiga penyanyi ini tidak membayangi sesiapa.

“Saya tidak mahu ada sesiapa yang lebih menyerlah. Seperti nama konsert ini, ‘sisters’, jadi mereka kena menyokong antara satu sama lain dan bukannya berlawan sesama sendiri.

“Saya percaya mereka akan menghidupkan konsert ini nanti kerana masing-masing ada keunikan vokal tersendiri, namun mereka perlu bekerja keras untuk mendapatkan nyanyian harmoni,” katanya.

Tiket masih boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 6:00 AM