Asrol Awang
am@hmetro.com.my

Kuantan: Peneroka maut selepas ditemukan dengan kesan tembakan di dada dan tapak tangan kanan di Felda Bukit Sagu 4, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Mohamad Omar, 67, dari Felda Bukit Sagu di sini, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Goh di sini, ketika menerima rawatan.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan Bukit Goh yang memaklumkan seorang lelaki meninggal dunia akibat terkena tembakan.

"Mengikut keterangan daripada isteri mangsa, suaminya itu keluar dari rumah untuk mengait buah kelapa sawit di tempat kejadian pada 10 pagi.

"Pada 3.36 petang, mangsa menghubungi isterinya memberitahu dia ditembak di dada.

"Berikutan itu, isterinya bersama rakan baik mangsa pergi ke tempat kejadian dan menemukan lelaki itu dalam keadaan parah akibat tembakan dan ketika itu masih hidup.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 4.20 petang dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, selaras senapang buatan sendiri ditemukan di tempat kejadian.

"Setakat ini, motif kejadian dalam dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Noraini Mohamad, 42 berkata, kejadian itu diketahui daripadanya ibunya.

Menurutnya, ibu beritahu berlaku sesuatu kepada ayahnya dan meminta segera ke Klinik Kesihatan Bukit Goh.

"Kali terakhir saya bertemu ayah kira-kira dua minggu lalu dan dia seorang yang ceria dan tidak mengambil tahu hal orang lain," katanya yang tinggal di Jabor dekat sini.

Anggota polis mengangkat mayat warga emas yang disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Goh, Kuantan selepas ditemukan dengan kesan tembakan di ladang sawit hari ini. Foto Farizul Hafiz Awang
Anggota polis mengangkat mayat warga emas yang disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Goh, Kuantan selepas ditemukan dengan kesan tembakan di ladang sawit hari ini. Foto Farizul Hafiz Awang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 11:08 PM