Asrol Awang


Kuantan: Operator kilang papan ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras selepas terjatuh dari motosikal ketika meredah air bah di Jalan Kubur Cina, Gambang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, M Gunalan, 38 dari Taman Gambang Makmur, di sini.

Katanya, berdasarkan laporan, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal melalui jalan terbabit yang ditenggelami air pada jam 11.30 pagi.

"Bertindak atas maklumat, pasukan penyelamat dari Balai Polis Gambang dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Pada jam 2.22 petang, mangsa dijumpai dan meninggal dunia iaitu kira-kira 100 meter dari tempat kejadian manakala motosikal pula ditemui di lokasi tempat mangsa terjatuh," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba menyelamatkan mangsa.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan arus deras dan kejadian berlaku terlalu pantas, mangsa tidak dapat diselamatkan.

"Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk tindakan lanjut termasuk pengesahan status jangkitan Covid-19 sebelum diserah kepada waris," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, operasi mencari dan menyelamat turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuantan.

"Operasi itu menggunakan sebuah bot dan mayat mangsa ditemukan tersangkut pada pokok kelapa sawit," katanya.

PASUKAN penyelamat menurunkan bot untuk mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Cherating, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.
PASUKAN penyelamat menurunkan bot untuk mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Cherating, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 5:21 PM