PEMANDU lori warga Malaysia yang diberkas ICA Singapura.
PEMANDU lori warga Malaysia yang diberkas ICA Singapura.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Bukan sedikit jumlahnya namun berjuta kotak rokok cuba diseludup ke Singapura setiap tahun melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands di republik berkenaan.

Namun persoalan timbul apabila setiap kenderaan berat digunakan untuk menyeludup masuk rokok berkenaan melalui proses ubah suai rapi, sekali gus memungkinkan ia didalangi kartel dan 'pasukan' kerja profesional.

Malah, ada antara taktik digunakan itu disifatkan tidak masuk akal apabila sindiket akan meleraikan dahulu komponen kenderaan, memotong panel atau membuka dinding kontena untuk menyembunyikan ribuan kotak rokok di dalamnya.

Sumber Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkata, taktik itu memerlukan ketelitian dan kekemasan bagi memastikan ribuan kotak rokok yang mahu diseludup ke Singapura berjaya melepasi pemeriksaan kastam di pintu keluar Malaysia dan pintu masuk negara jiran itu.

"Ini memungkinkan wujud pembabitan sekumpulan pakar ubah suai dan kimpal, tukang kayu, perancang pelan serta 'kaki' yang mempunyai pengalaman dalam aktiviti penyeludupan rentas sempadan.

"Hasil kerja tangan sindiket ini amat kemas dan teliti. Dinding kontena, lantai atau bahagian atas kepala lori digunakan untuk menyembunyikan rokok seludup akan dikimpal atau ditampal semula dengan rapi," katanya.

Menurutnya, taktik berkenaan dibuktikan apabila Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura dilengkapi alat pengimbas sinar-X berjaya membongkar taktik 'basi' digunakan sindiket ini sejak sekian lama.

"Ia susulan penemuan ribuan kotak rokok disusun rapi sindiket pada lantai lori, ruang pemisah dalam dinding kontena, bahagian atas kepala lori selain disembunyikan di bahagian tayar. Malah, ada juga rokok seludup ini disembunyikan di dalam kotak berisi ikan dan udang selain pelbagai barangan industri dan am," katanya.

ROKOK seludup berasal dari Malaysia yang dirampas pihak ICA Singapura.
ROKOK seludup berasal dari Malaysia yang dirampas pihak ICA Singapura.

Menurutnya, harga sekarton rokok seludup kini dijual sekitar dolar Singapura (SGD) $22 (RM68) di negara itu. Ini antara punca sindiket masih berusaha menyeludup rokok ke negara jiran saban minggu.

"Berdasarkan rekod, pihak berkuasa Singapura mengesan 41,000 kes penyeludupan terutama rokok tanpa cukai, rokok elektronik dan dadah yang melalui pusat pemeriksaan Singapura sepanjang tahun lalu," katanya.

Pada 7 September lalu, pihak kastam republik itu menahan lima suspek termasuk dua warga Malaysia dan merampas 6,000 karton rokok yang tidak dibayar cukai.

Dalam operasi itu, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta duti yang dielak berjumlah sekitar SGD $557,920 (RM1.7 juta).

"Terbaharu, pegawai penguat kuasa di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 796 karton rokok dan 905 rokok seludup menggunakan lori bernombor pendaftaran Malaysia.

"Ia susulan imej dikesan pengimbas sinar-X sebelum pihak berkuasa memecah bahagian bumbung lori menggunakan tukul besi dan menemui rokok tanpa cukai itu.

Pada 4 Ogos lalu, petugas ICA di Tuas Checkpoint turut merampas 7,500 bungkus tembakau kunyah disembunyikan di dalam kabin sebuah lori dari Malaysia.

Manakala pada 16 Julai lalu, pegawai ICA di Tuas Checkpoint turut membongkar cubaan menyeludup 843 karton dan 2,613 peket rokok tanpa cukai menggunakan sebuah lori dari Malaysia.

ANTARA lori bernombor pendaftaran Malaysia yang ditahan ICA Singapura kerana dikesan cuba menyeludup rokok putih ke republik itu.
ANTARA lori bernombor pendaftaran Malaysia yang ditahan ICA Singapura kerana dikesan cuba menyeludup rokok putih ke republik itu.

Semua rokok itu dikesan disembunyikan di atas dinding lori dipandu seorang lelaki warga Malaysia berusia 58 tahun.

Pembongkaran sama turut dilakukan 3 Julai lalu apabila pegawai ICA menumpaskan cubaan menyeludup 2,240 karton rokok dan 1,619 kotak rokok tanpa cukai dari Malaysia.

Imbasan sinar-X mengesan kewujudan kotak rokok itu disembunyikan di bahagian bawah lantai lori dipandu lelaki berusia 45 tahun. Taktik sama turut dikesan pada 24 Mei lalu apabila 2,832 karton rokok turut dikesan disembunyikan di bahagian lantai sebuah lori.

Mesin imbas sinar-X tak cukup

Nilai: Kekurangan mesin pengimbas sinar-X selain jumlah kenderaan tinggi memasuki Singapura antara faktor lori atau treler yang menyeludup rokok tidak sah dari Malaysia berjaya bolos ke negara jiran.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya sedia maklum berhubung setiap penahanan kenderaan perdagangan pendaftaran tempatan yang cuba menyeludup pelbagai barangan ke republik berkenaan.

"Kami mempunyai kerjasama dengan Singapura dan sentiasa berkolaborasi dengan Kastam Singapura. Memang kami menerima maklumat mengenai penahanan (pemandu lori dan treler warga Malaysia) dan rampasan rokok atau vape dibawa.

"Bagaimanapun tidak semua kenderaan berat ini berjaya bolos (ke Singapura). Ada juga kegiatan ini berjaya dikesan anggota JKDM bertugas di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, Johor," katanya.

ABDUL Latif. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Latif. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata, jika ada yang tidak dapat dikesan dan terlepas ke Singapura, kebiasaannya ia akan ditahan pihak berkuasa di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas di Singapura.

Beliau berkata, pihak JKDM mempunyai mesin pengimbas sinar-X di semua stesen sempadan namun mempunyai kelemahan di bahagian eksport apabila tidak semua pintu keluar mempunyai mesin pengimbas sinar-X berkenaan.

"Kami mengalami urusan pelepas kargo yang tinggi. Jadi tanpa bantuan mesin pengimbas dan hanya melalui pemeriksaan fizikal, kami tidak berupaya sebenarnya.

"JKDM akan menambah 20 mesin pengimbas sinar-X berkualiti tinggi. Insya-Allah perkara ini akan dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa termasuk di Sabah dah Sarawak," katanya.

Beliau sebelum ini turut memaklumkan JKDM akan menambah 20 mesin pengimbas berkualiti tinggi di pintu masuk negara bagi menggantikan mesin lama.

Mesin pengimbas itu dijangka tiba dari luar negara pada penghujung tahun ini bagi ditempatkan di lapangan terbang dan pelabuhan.

Menurutnya, kos pembelian mesin pengimbas itu kira-kira RM200 juta dan sepatutnya JKDM memerlukan 70 mesin pengimbas lagi bagi kegunaan mengimbas beg penumpang dan kegunaan komersial.

KEKURANGAN mesin pengimbas sinar-X punca penyeludupan ke negara jiran berleluasa.
KEKURANGAN mesin pengimbas sinar-X punca penyeludupan ke negara jiran berleluasa.

JDKM dan pegawai penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sebelum ini turut berjaya menumpaskan cubaan menyeludup rokok tidak bercukai ke negara jiran susulan rampasan 320,000 batang rokok disembunyikan di dalam 19 tong ikan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Johor.

Difahamkan semua rokok itu dikesan dibawa menaiki lori sebelum menjalani pemeriksaan di laluan eksport ke Singapura.

Semua rokok dirampas itu dianggarkan bernilai RM76,800 dengan duti dan cukai sebanyak RM218,880.

Pemandu lori dijadikan 'kambing hitam'

Johor Bharu: Ada antara pemandu lori warga tempatan yang diberkas di pintu masuk Singapura membabitkan golongan 'kambing hitam' yang digunakan sindiket untuk membawa masuk rokok seludup ke republik itu.

Bekas Presiden Persatuan Pemandu Lori Johor, Mohd Khairuddin Ismail berkata, bagaimanapun terdapat juga sebilangan kecil pemandu lori yang menyeludup rokok ke negara jiran itu demi mencari pendapatan sampingan.

"Kebanyakan pemandu lori yang ditahan pihak kastam Singapura tidak mengetahui bahawa mereka membawa barangan yang cuba diseludup secara haram. Bukan hanya rokok malah berlaku penyeludupan cecair rokok elektronik dan vape, tembakau dan dadah.

"Ini semua kerja sindiket yang mempergunakan pemandu lori sebagai jalan mudah untuk membawa masuk rokok tidak sah ke negara berkenaan. Jika tertangkap sekali pun, pemandu lori yang akan dipertanggungjawabkan dan didakwa di mahkamah.

"Kita boleh lihat, jika jumlah atau nilai rokok yang diseludup itu dalam kuantiti besar, ia adalah angkara sindiket. Pemandu lori tidak berani menjerat leher sendiri kerana mereka tahu, jika sekali tertangkap pasti sukar untuk masuk (bekerja) ke negara itu lagi," katanya.

TERDAPAT juga sebilangan kecil pemandu lori yang menyeludup rokok ke negara jiran itu demi mencari pendapatan sampingan.
TERDAPAT juga sebilangan kecil pemandu lori yang menyeludup rokok ke negara jiran itu demi mencari pendapatan sampingan.

Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Din berkata, meskipun sudah tidak memegang jawatan sebagai presiden dalam Persatuan Pemandu Lori Johor, dia mengetahui pergerakan dan perkara yang terjadi kepada pemandu yang memasuki Singapura.

"Saya akui terdapat juga pemandu lori yang membawa masuk rokok secara kecil-kecilan sama ada untuk digunakan sendiri atau untuk dijual kepada rakan dan warga asing bekerja di negara itu.

"Namun terdapat juga pemandu lori yang bersubahat dengan sindiket dan memang mengetahui lori dipandu membawa muatan barangan tidak sah.

"Baru-baru ini berlaku apabila seorang pemandu lori yang membawa perabot ke Singapura terkejut apabila mendapati perabot dibawanya dipenuhi rokok.

"Malah ketika ini saya baru mendapat maklumat dua pemandu Malaysia ditahan di pintu masuk Singapura kerana didapati membawa rokok haram yang disorok di bahagian bawah casis lori dan diikat dengan rantai," katanya.

ROKOK haram disorok di bahagian bawah casis lori dan diikat dengan rantai.
ROKOK haram disorok di bahagian bawah casis lori dan diikat dengan rantai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 12:01 PM