BUNGKUSAN berisi peket tembakau kunyah (gambar bulat) yang dirampas.
BUNGKUSAN berisi peket tembakau kunyah (gambar bulat) yang dirampas.
Oleh Ibrahim Isa


Taktik membungkus ribuan peket tembakau kunyah dan disorok di bahagian enjin lori bertujuan diseludup ke negara jiran.

Taktik dilakukan lelaki warga Malaysia itu bagaimanapun berjaya dikesan pegawai Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) di Kompleks Kastam dan Imigresen (KIK) Tuas, Singapura.

ICA dalam satu kenyataan media berkata, dalam kejadian itu sepasukan pegawainya melihat sebuah lori bernombor pendaftaran Malaysia dalam keadaan mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan.

“Apabila diperiksa, pegawai kami menemui dua plastik hitam diletakkan di bahagian enjin lori.

“Apabila dibuka, kami menemui 3,000 peket tembakau kunyah sebelum pemandu lori warga Malaysia berusia 50 tahun diserahkan kepada Pihak Berkuasa Sains dan Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya dalam kejadian berasingan sepanjang September lalu, lapan lelaki warga Malaysia berusia 21 hingga 47 tahun turut ditahan kerana cuba menyeludup air ketum ke republik itu.

Mereka kini berdepan hukuman penjara 30 tahun dan 15 kali sebatan jika disabitkan bersalah.

Kesemua warga Malaysia itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan di KIK Woodlands, Singapura.

Kratom atau turut dikenali sebagai ketum, air ketum, ithang, biak biak, kakuam atau thom mengandungi Mitragynine dan 7-Hydromitragynine yang juga bahan kawalan mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah republik berkenaan.

Katanya, botol mengandungi air ketum ditemui di dalam kereta atau disembunyikan bersama barangan peribadi suspek sebelum diserahkan kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) bagi membantu siasatan.

“Dalam satu kes membabitkan suspek berusia 47 tahun yang juga pemandu bas pendaftaran Malaysia, pemeriksaan pegawai ICA menemui botol mengandungi air ketum,” katanya.

“Selain itu, pemeriksaan pegawai CNB menemui satu paket dipercayai digunakan untuk menyimpan dadah jenis ice.

“Mengimport bahan kawalan dan larangan ke Singapura adalah satu kesalahan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 15 kali sebatan,” katanya.

Menurutnya, ICA sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi menjaga pintu masuk republik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 6:30 AM