SEBANYAK  502 karton rokok disembunyikan di   bumbung MPV berkenaan dan dua beg galas dalam kes kedua dirampas di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura.
SEBANYAK 502 karton rokok disembunyikan di bumbung MPV berkenaan dan dua beg galas dalam kes kedua dirampas di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura.
Oleh Mary Victoria Dass


GUNA taktik cabut bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex untuk menyembunyikan 1,260 kotak rokok seludup.

Itu taktik licik digunakan wanita warga Malaysia berusia 32 tahun ketika cuba menyeludup masuk rokok ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura, kelmarin.

Wanita terbabit bagaimanapun ditahan pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) selepas didapati dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap kenderaan dipandu.

Hasil siasatan terperinci akhirnya menemui 502 karton rokok disembunyikan di bumbung MPV itu.

Suspek dipercayai menanggalkan bumbung MPV itu terlebih dahulu bagi membolehkan rokok seludup itu disusun sebelum komponen bumbung berkenaan dipasang kembali.

Semua rokok diseludup itu dianggarkan bernilai lebih RM50,000 itu dirampas dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam satu lagi kes berasingan, cubaan dua lelaki warga Singapura menyeludup masuk 42 karton dan 60 paket rokok merentasi sempadan dipatahkan pihak berkuasa sempadan Isnin lalu.

Kejadian itu dikongsi menerusi Facebook (FB) ICA yang mendedahkan rampasan dua beg sarat dengan barangan berkenaan dibawa masuk suspek berusia 21 dan 52 tahun dari Johor.

Difahamkan, mereka dicekup ketika menaiki teksi berdaftar di Malaysia dan dalam perjalanan pulang ke negara berkenaan.

Dua kes berkenaan dirujuk ke Jabatan Kastam Singapura bagi siasatan lanjut.

Kaedah menyembunyikan rokok adalah jenayah diberi tumpuan ICA yang akan meneruskan pemeriksaan keselamatan terhadap penumpang, barangan dan kenderaan dari Malaysia serta Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 9:00 AM