MOTOSIKAL ditunggang rakyat Malaysia yang dikesan digunakan untuk menyeludup rokok dan vape ke Singapura.
MOTOSIKAL ditunggang rakyat Malaysia yang dikesan digunakan untuk menyeludup rokok dan vape ke Singapura.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Guna khidmat 'ulat kapcai' untuk menjayakan misi menyeludup rokok putih dan vape melepasi Tambak Johor ke negara jiran, Singapura.

Itu antara taktik terbaru digunakan sindiket penyeludupan rokok putih dan vape yang masih aktif melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan.

Modus operandi terbaru penyeludupan menggunakan khidmat penunggang motosikal yang berulang alik bekerja ke Singapura itu dianggap lebih 'selamat' dan sukar dikesan.

Malah kemasukan beribu motosikal ketika waktu puncak awal pagi dijadikan waktu terbaik untuk sindiket menyeludup masuk rokok ke negara jiran.

Sumber Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkata, penggunaan motosikal menjadi pilihan sindiket selepas mereka mengalami kerugian besar susulan rampasan berjuta kotak rokok yang cuba diseludup menggunakan lori atau treler sebelum ini.

Hampir setiap minggu cubaan menyeludup rokok menggunakan kenderaan berat bernombor pendaftaran Malaysia berjaya dipatahkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Woodlands, Singapura.

Dalam kejadian terbaru Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Woodlands berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok putih menggunakan motosikal.

Difahamkan ICA menggunakan mesin pengimbas X-Ray berteknologi tinggi bagi mengesan sebarang objek mencurigakan sebelum menahan tiga penunggang motosikal.

Sewaktu pemeriksaan dilakukan sebanyak 1,000 kotak rokok yang tidak dibayar cukai ditemui disembunyikan di beberapa bahagian motosikal termasuk di bawah tempat duduk.

"Rampasan membabitkan pelbagai jenama rokok seludup yang mampu dijual sehingga dolar Singapura (SGD) $22 (RM68) sekarton di negara berkenaan.

"Difahamkan salah seorang suspek cuba melarikan diri namun dikejar dan berjaya diberkas pihak berkuasa negara berkenaan," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, pegawai ICA di Pusat Pemeriksaan Tuas turut berjaya menggagalkan dua percubaan menyeludup rokok menggunakan lori yang berdaftar di Malaysia.

Dalam kes pertama, pihak alat pengimbas digunakan ICA mengesan imej mencurigakan pada muatan aluminium dibawa lori berkenaan.

Bagaimanapun pemeriksaan lanjut menemui 9,790 pelbagai jenis rokok elektronik vape yang disembunyikan di dalam kabin lori itu.

Rampasan sama turut dilakukan terhadap sebuah lagi lori berasal dari Malaysia mengandungi 6,224 pelbagai jenis rokok vape yang tersembunyi di dalam kotak di bahagian tengah kontena.

Pada 24 Januari lalu, pihak ICA turut merampas 7,200 rokok vape dan cecair vape yang turut cuba diseludup menggunakan lori.

Baru-baru ini Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar mengingatkan rakyat Malaysia termasuk golongan yang bekerja republik itu supaya sentiasa cakna dengan perkembangan undang-undang negara berkenaan.

Katanya ini penting bagi mengelakkan kesulitan kepada diri sendiri dan keluarga jika mereka ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa di negara itu.

"Saya harap semua sentiasa 'update' (cakna) berkaitan undang-undang Singapura. Baru-baru ini ramai yang kena tahan bawa vape (rokok elektronik) dan sebagainya.

"Apabila disiasat, pasport kena ambil dan tidak boleh balik ke Malaysia. Ini akan sebabkan banyak masalah dan kadang kala apabila majikan tahu, mereka akan terus diberhentikan," katanya.

Vape adalah diharamkan di Singapura dan menjadi satu kesalahan untuk memiliki, membeli atau menggunakan rokok elektronik dan komponen berkaitannya serta pesalah boleh didenda sehingga S$2,000 (RM7,000) bagi setiap kesalahan.

Ia juga satu kesalahan untuk menjual, memiliki untuk dijual, mengimport atau mengedar rokok elektronik dan komponen berkaitannya.

Pesalah boleh didenda sehingga $10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan didenda sehingga $20,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan kedua atau seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 7:01 AM