IBU hamil berdepan stigma kesan buruk ujian sinar-X.
IBU hamil berdepan stigma kesan buruk ujian sinar-X.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Mengandung adalah saat yang dinantikan bagi setiap wanita yang sudah mendirikan rumah tangga kerana impian bergelar ibu bakal tercapai.

Kegembiraan setiap wanita apabila disahkan hamil juga sudah tentu berbeza dan keterujaan lebih ketara bagi mereka yang sudah lama menantikan detik itu.

Namun, di sebalik keterujaan itu mereka perlu mempersiapkan diri dari segi ketahanan mental dan emosi sepanjang menempuh tempoh mencabar kehamilan selama sembilan bulan.

Penjagaan dari aspek kesihatan juga amat ditekankan bagi memastikan ibu dan bayi dalam kandungan selamat tanpa sebarang masalah yang membimbangkan.

Bagaimanapun, bak kata pepatah Melayu, ʻmalang tidak berbauʼ kerana walaupun sudah mengambil langkah berjaga-jaga tetapi risiko diuji musibah kesihatan semasa hamil tetap ada.

Bagi mereka yang menghadapinya sudah tentunya itu satu perkara yang merunsingkan lebih-lebih lagi apabila perlu menjalani ujian imbasan sinar-X untuk mengenal pasti masalah yang alami.

Kebimbangan itu disebabkan stigma mengatakan ibu hamil tidak boleh menjalani ujian sinar-X kerana radiasi elektromagnetik daripada sinaran terbabit boleh menyebabkan kecacatan kepada janin.

Bagaimanapun, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak yang mengendalikan kes obstetrik dan ginekologi memberikan pencerahan dan penjelasan mengenai tanggapan itu.

Menurutnya, ujian imbasan sinar-X yang dilakukan ke atas ibu mengandung bukan kerana suka-suka tetapi atas faktor keperluan kesihatan dan diagnosis bagi mengenal pasti masalah sebenar.

“Contohnya jika wanita yang baru tiga bulan hamil dan mengalami masalah batuk berpanjangan, ia berkemungkinan ada jangkitan kuman pada paru-paru.

“Maka penyiasatan perlu dilakukan mengenal pasti jenis penyakit dihidapi wanita ini supaya rawatan selanjutnya boleh dilakukan demi keselamatan ibu dan bayi dalam kandungan.

“Kita bimbang sekiranya ada penyakit lain yang lebih serius tetapi langkah pencegahan awal tidak dilakukan dan akhirnya membahayakan nyawa mereka,” katanya.

DOKTOR memberi penerangan sebelum ujian imbasan sinar-X dilakukan.
DOKTOR memberi penerangan sebelum ujian imbasan sinar-X dilakukan.

Beliau berkata, ujian imbasan sinar-X tidak memberikan kesan serius kepada ibu dan bayi dalam kandungan jika dilakukan hanya sekali dua jika imbasan berkenaan diperlukan dalam pelan perawatan pesakit.

Jelasnya, radiasi sinar-X tetap ada tetapi pegawai perubatan akan meminimumkan kesannya terhadap bayi dalam kandungan.

“Caranya dengan menggunakan pakaian perisian plumbum atau apron plumbum iaitu sejenis penutup yang terkandung dalamnya logam plumbum yang diletakkan di atas ruang abdomen ibu.

“Begitu juga dengan petugas kesihatan yang menjalankan imbasan itu. Dia juga akan memakai gaun plumbum bagi mengurangkan kesan radiasi bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Menurutnya, pegawai perubatan perlu memainkan peranan dengan memberikan penerangan kepada ibu hamil mengenai sinar-X bagi mengurangkan kegusaran hati mereka yang sekali gus bersetuju melakukan ujian berkenaan.

Berdasarkan satu kajian mendapati risiko ibu mendapat bayi cacat ialah 286 dalam setiap 1,000 kelahiran normal berbanding risiko kelahiran bayi cacat akibat pendedahan sinar-X iaitu 0.17 kes dalam 1,000 kelahiran.

APRON plumbum yang digunakan ibu hamil ketika menjalani ujian imbasan sinar-X.
APRON plumbum yang digunakan ibu hamil ketika menjalani ujian imbasan sinar-X.

Difahamkan, dos radiasi sinar-X yang diberikan di hospital adalah selamat dan risiko kepada bayi dalam kandungan sangat rendah selagi dos terkumpul digunakan untuk pemeriksaan sinar-X pada kadar lima rad.

Dr Muhammad Izzat berkata, hakikatnya walaupun tidak menjalani ujian sinar-X, ibu mengandung sudah terdedah kepada radiasi daripada alam sekitar, tanah, udara dan ketika duduk dalam kereta.

“Kita semua tidak dapat mengelak daripada radiasi ini dan sentiasa terdedah kepada radiasi lebih besar yang kita sendiri tidak tahu dari mana asal usulnya.

“Dalam jangka masa panjang kesan radiasi ini terhadap sistem badan belum diketahui lagi,” katanya.

Jelas beliau, wanita mengandung tidak perlu gusar dan gelisah apabila doktor memaklumkan mereka perlu menjalani pemeriksaan sinar-X.

Katanya lagi, ini kerana pemeriksaan imbasan itu penting bagi membantu ibu dan doktor dalam pemberian rawatan selanjutnya. Jangan percaya dengan momokan yang tidak benar mengenai sinar-X dan bertanyalah kepada mereka yang lebih arif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 2:24 PM