PASANGAN dinasihatkan tidak  mengambil ringan apabila timbul konflik dalam perkahwinan.
PASANGAN dinasihatkan tidak mengambil ringan apabila timbul konflik dalam perkahwinan.
Nazarali Saeril

Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan purata 121 pasangan Islam bercerai setiap hari di seluruh negara.

Ia bukan isu picisan, malah perlu ditangani segera bagi memastikan institusi keluarga pasangan Islam kekal utuh.

Banyak boleh dikaitkan dengan isu perceraian ini dan bagi mengupasnya, ikuti wawancara kaunselor di KS Consultancy & Training, NORANIZA ANWAR bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL.

Purata 121 permohonan perceraian difailkan pasangan Islam setiap hari untuk bercerai di mahkamah syariah seluruh negara. Apa yang berlaku?

Stastitik ini memperlihatkan usaha perlu dilakukan dalam membendung peningkatan permohonan perceraian.

Adalah menjadi kelaziman untuk pasangan melakukan sesuatu demi menyelamatkan perkahwinan.

Cuma barangkali, pendekatan yang diambil kurang tepat dan tanpa merujuk kepada profesional.

Seharusnya pasangan tidak mengambil ringan apabila timbul konflik dalam perkahwinan seperti perselisihan faham, pengabaian, kecurangan, penderaan, ketidakpuasan hati atau campur tangan pihak ketiga.

Jangan takut, malu atau bertangguh untuk mendapatkan bantuan pakar.

Bila terlalu lama memendam dan menyimpan rasa sakit, kecewa, marah, maka itu yang pada satu peringkat, pasangan akur memilih untuk berpisah lantaran tiada intervensi atau rawatan, pencerahan dan bimbingan untuk membantu kesembuhan dalaman.

Tanpa melalui proses kesembuhan dalaman yang sempurna, pasangan akan kembali terperangkap dengan kesilapan dan kelemahan sama malah usah terkejut, ada juga ditemukan contoh jika ayahnya dahulu panas baran, ego dan membuatkan ibunya makan hati, si anak tadi pun akan mengulangi kesilapan yang sama berkahwin.

Dan kitaran ini terus berlaku. Maka sebab itulah, dapatkan rawatan dan pertolongan yang tepat seperti bantuan daripada kaunselor rumah tangga yang bertauliah serta berpengalaman.

  • Pengalaman berdepan pasangan yang mendapatkan khidmat nasihat berkaitan rumah tangga?

    Banyak yang mereka dedahkan namun akhir-akhir ini, sebahagian besarnya membabitkan isu kecurangan, ketidakfahaman pasangan dalam melaksanakan hak juga peranan masing-masing, campur tangan mentua dan layanan sambil lewa pasangan.

    Gajet turut memainkan peranan yang mana ia sentiasa 'melekat' dengan suami atau isteri menyebabkan komunikasi tidak lancar.

    Jika semua perkara itu tidak diurus dengan bijaksana, ia boleh menambah konflik serta tekanan dalam rumah tangga.

    Saya sering tegaskan kepada pasangan ini untuk kembali ke matlamat asal perkahwinan apabila mereka seolah-olah menemui jalan buntu dalam rumah tangga.

    Perkahwinan perlu membahagiakan, saling melengkapi dan mendokong satu sama lain.

    Ketika sesi kaunseling serta terapi, banyak pasangan mengatakan yang ilmu dikongsi dalam kursus perkahwinan disertai tidak mencukupi.

    Mereka mahukan pembimbing namun terlalu banyak aspek yang dipinggir dalam rumah tangga. Ada kalanya perbuatan dilakukan menyakiti hati pasangan walaupun itu bukan yang dimaksudkan.

  • Perbezaan umur, jurang pendapatan selain taraf pendidikan. Adakah ia antara punca perceraian?

    Ia memang antara yang menjadi punca perceraian.

    Ada juga yang bercerai akibat rasa tidak puas hati selain sikap jahil dalam diri.

    Individu yang jahil ini biasanya memilih untuk 'melarikan diri' daripada rumah tangga dengan mencari keseronokan di luar batas perkahwinan.

    Itu yang menyebabkan wujudnya isu pengabaian terhadap suami, isteri atau keluarga.

    Ada yang berperangai umpama orang bujang, berkahwin hanya kerana ikut-ikutan dan gagal menghidupkan kebahagiaan rumah tangga.

    Tak kurang juga yang menjadikan pasangan sebagai 'mesin pengeluaran wang automatik' (ATM) bagi membayar hutang, perbelanjaan harian dan lain-lain.

    Ia biasanya berlaku terhadap pasangan yang kerjayanya lebih baik daripada suami atau isteri.

  • Kahwin pada usia muda, apa risikonya?

    Tidak salah untuk berkahwin pada usia muda namun faktor kematangan, ilmu dan kefahaman mengapa anda berkahwin itu amat perlu.

    Dan bagi memahami konteks ini, teori dinamik ada mengulas bahawa dalam mencapai marriage satisfaction, ada tiga perkara yang perlu ada.

    Ia membabitkan personal growth, instrumental dan companionship.

    Dalam usia muda, masih terlalu banyak impian yang ingin dicapai dan ingin dipenuhi. Ia boleh menjemput tekanan tanpa disedari jika tidak diuruskan dengan bijaksana.

    Rentetan daripada pertembungan impian, ia boleh menyebabkan pasangan muda ini, yang mungkin juga naif kerana faktor usia, akhirnya rasa bercelaru dan terkapai-kapai dalam melayari rumah tangga.

    Kurangnya maklumat, ilmu dan kemahiran juga boleh memburukkan lagi keadaan apabila keputusan, tindakan juga layanan yang diberikan hanya dilakukan sesuka hati.

    Maka, tidak hairanlah pasangan suami isteri muda memiliki kecenderungan yang tinggi untuk berpisah.

  • Punca rumah tangga runtuh?

    Punca utama yang sering saya temukan.

    1. Pasangan adakalanya mula sambil lewa, tiada lagi kata-kata pujian, penghargaan, tidak berbicara dengan lembut, tiada gurau senda malah rumah ada kalanya umpama 'hotel' manakala pasangan adalah 'teman serumah'.

    2. Faktor pengurusan kewangan. Ramai yang hanya fikirkan perkahwinan yang indah tanpa komitmen. Apabila tanggungjawab bertambah, pasangan mula berprasangka.

    Pelbagai komitmen bulanan seperti ansuran rumah, kereta, bil utiliti, perbelanjaan anak dan lain-lain menyebabkan banyak pasangan rasa terbeban sedangkan ia boleh diselesaikan jika perancangan kewangan stabil.

    3. Campur tangan mentua. Mungkin pada asasnya berhasrat untuk mengadu dan memohon pandangan namun ada kalanya, ada mentua atau ipar yang mungkin bersifat protective, pasangan pula yang menjadi mangsa. Sayang masih menebal, tetapi disebabkan indoktrin yang mungkin bersifat bias, maka hubungan suami isteri itu yang menjadi mangsa.

    4. Hubungan yang 'kesat'. Ia biasanya membabitkan pasangan yang pernah melalui pengalaman menjadi mangsa dera, melihat ibu bapa saling menyakiti, sumpah seranah selain maki hamun.

    Hanya individu yang pernah disakiti, didera sahaja mampu menyakiti dan mendera dan kitaran ini diulangi lagi tanpa rasa bersalah walaupun ada kalanya, individu berkenaan memiliki pengetahuan agama yang tinggi.

    5. Curang dan diabaikan. Ia membabitkan pasangan yang pernah diabaikan ibu bapa akibat kesempitan hidup dan lain-lain.

    Ibu bapa terpaksa bekerja dalam tempoh lama menyebabkan anak ini tertekan. Apabila berkahwin, dia akan mula terasa perkara sama apabila pasangan mula sedikit sibuk dan sebagainya.

    Ada juga yang curang kerana mahu membalas dendam kerana pernah dikecewakan sebelum berkahwin dan yang menjadi mangsa adalah pasangannya sendiri.

  • Antara punca pelik perceraian?

    Banyak kes yang saya kendalikan membabitkan isu berat namun ada beberapa yang agak berlainan.

    Antaranya ialah suami terlalu leka dengan ternakan kambing, malah badan suami juga berbau haiwan berkenaan.

    Ada juga suami yang leka mencari rezeki sehingga pasangan rasa terabai. Contoh, bertugas sebagai pemandu e-hailing selepas waktu kerja.

    Akibatnya, isteri mudah terasa sebelum berlaku pertelingkahan. Apabila dirujuk kepada pakar, isteri didapati berdepan masalah bipolar akibat kurang kasih sayang dan perhatian

    Ada juga membabitkan pasangan tidak membina pensempadanan bila berkahwin. Ia bermaksud, mentua serta ipar mempunyai kunci pendua rumah mereka dan bila-bila masa boleh datang tanpa diundang.

    Ia menyebabkan suami atau isteri rasa mereka tiada privasi di rumah sendiri sebelum bertelingkah dan akhirnya berpisah.

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:59 AM