Siti Rohana Idris


Tumpat: "Saya memohon kepada petugas hospital supaya saya dapat menjadi imam solat jenazah mama di Unit Forensik kerana hanya itu saja bakti terakhir saya untuk mama," kata Imran Muzakkir Mohd Isram.

Remaja berusia 16 tahun yang kematian ibu, Wan Suzana Wan Daud, 48, akibat Covid-19 pada tengah malam Khamis lalu selepas lima hari ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu juga menyempurnakan tanggungjawab menguruskan jenazah di tanah perkuburan dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

Imran Muzakkir berkata, kesedihan pemergian ibu yang meninggalkan dia dan dua adik, Izmeer Muzakkir, 14 dan Irdina Zafida, 8, tidak dapat dibayangkan di saat mereka masih meratapi kehilangan bapa, Mohd Isram Muhammad, 52, akibat penyakit buah pinggang pada Mac lalu.

"Sudah tiada lagi tempat kami mengadu kecuali menumpang kasih ibu dan bapa saudara di sebelah arwah mama dan papa.

"Semua yang berlaku bagaikan mimpi dan walaupun saya sendiri tidak kuat menempuhi ujian ini tapi saya perlu cekalkan hati demi dua adik dan menganggap segala yang berlaku sebagai takdir," katanya ketika ditemui di Kampung Tujoh, di sini, hari ini.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat itu berkata, dia dan seorang adiknya, Izmeer Muzakkir sempat menatap wajah ibu mereka sebaik menghembuskan nafas terakhir menerusi panggilan video yang dibuat oleh pihak hospital dan mengakui detik itu paling memilukan.

Apa yang turut menyedihkan, bukan saja ibunya tapi datuk dan neneknya yang juga ibu bapa Allahyarham Wan Suzana turut dijemput Ilahi pada 17 dan 18 September lalu akibat Covid-19.

"Saya sepatutnya menerima suntikan vaksin pada 22 September lalu tapi perlu ditemani penjaga dan disebabkan mama masih di ICU, saya tidak dapat menghadirinya.

"Walau keadaan mama dilihat kritikal ketika itu, saya masih mengharapkan ada keajaiban tapi sebaik dimaklumkan mama sudah menghembuskan nafas terakhir tengah malam Khamis lalu, kami tiga beradik reda dengan ketentuan Allah," katanya.

Allahyarham Wan Suzana yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1 dimasukkan ke hospital awal bulan ini apabila mengalami gejala Covid-19 selepas beberapa hari menjaga ibunya, Hamidah Abdul Aziz, 75, yang dirawat di Hospital Tumpat akibat beberapa penyakit.

Adik ipar Allahyarham Wan Suzana, Nur Harliana Ramli, 42, berkata, disebabkan itu, Wan Suzana dan tiga anak serta ibu bapanya segera dirujuk untuk pemeriksaan.

"Hasilnya Wan Suzana dan ibu bapanya positif Covid-19 dan dirujuk ke hospital manakala Imran dan Irdina yang juga positif hanya ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) serta kuarantin kendiri.

"Ibu Wan Suzana meninggal dunia di Hospital Tumpat pada pagi Jumaat lalu disusuli bapanya, Allahyarham Wan Daud Wan Mat, 78, keesokan harinya iaitu jam 8.30 pagi di ICU HRPZ II," katanya sambil memberitahu ketiga anak saudaranya akan terus menetap di rumah datuk dan neneknya itu dan dijaga oleh mereka sekeluarga sama ada sebelah ibu atau bapa.

 IMRAN Muzakkir (kanan) bersama adik, Izmeer Muzakkir, dan Irdina Zafida menunjukkan gambar arwah ibu mereka, Wan Suzana yang meninggal dunia akibat Covid-19 selepas lima hari ditidurkan di ICU HRPZ II dan bapa mereka, Mohd Isram yang meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
IMRAN Muzakkir (kanan) bersama adik, Izmeer Muzakkir, dan Irdina Zafida menunjukkan gambar arwah ibu mereka, Wan Suzana yang meninggal dunia akibat Covid-19 selepas lima hari ditidurkan di ICU HRPZ II dan bapa mereka, Mohd Isram yang meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 2:00 PM