Redzuan Muharam

Rawang: Pengalaman mengerjakan umrah bersama keluarga dua bulan lalu menjadi kenangan sukar dilupakan buat Ezza Izzati Zulkurnain apabila ibu tercinta, Wan Naimah Idris dijemput Ilahi di Tanah Suci Makkah.

Ezza Izzati, 25, yang menetap di Bandar Tasik Puteri di sini, berkata, pemergian ibu adalah kehilangan besar buat mereka sekeluarga namun perlu reda dengan ketentuan-Nya.

Menurutnya, ibu paling teruja mahu ke Tanah Suci dan banyak kali menyuarakan hasrat mengerjakan umrah.

"Sebenarnya, kami tidak rancang lama pergi ke sana kerana kebetulan, abah (Zulkurnain Mohd Noor, 68) ada wang simpanan, jadi buat tempahan dengan agensi pada saat akhir.

"Lagipun, mama ada suarakan hasrat mengerjakan umrah pada September lalu dan banyak kali cakap... jadi abah cuba tunaikan permintaannya.

"Kami pergi berempat iaitu saya, mama, abah dan kakak serta berangkat pada 13 Oktober lalu," katanya di sini, semalam.

Katanya, dia sekeluarga sepatutnya pulang ke tanah air pada 24 Oktober lalu namun ibunya dimasukkan ke hospital kerana sesak nafas.

"Mama dan abah memang ada diabetes serta darah tinggi namun keadaan terkawal. Ketika tiba di Madinah, hanya saya dan kakak saja demam manakala mama okay.

"Beberapa hari kemudian, baru mama demam, mungkin berjangkit dengan kami, tetapi tidak teruk sebelum mengadu sesak nafas pada hari kami sepatutnya pulang.

"Mutawif bawa mama ke hospital. Bagaimanapun, tidak lama selepas dimasukkan ke hospital, mama ditidurkan (diintubasi) kerana masalah pernafasan dan dikesan mengalami pneumonia (radang paru-paru) serta serangan jantung," katanya.

Menurutnya, ibunya ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital dan mereka hanya boleh melihatnya menerusi cermin kaca.

Katanya, doktor memaklumkan keadaan ibunya kritikal kerana kegagalan organ dan tekanan darah tidak cukup untuk membolehkannya menjalani dialisis.

"Kami hanya mampu berdoa dan harapkan keajaiban supaya mama sedar semula. Dua abang saya dan bapa saudara juga datang ke Makkah apabila tahu keadaan mama.

"Manakala adik-beradik lain tidak dapat bersama kerana komitmen kerja, namun Allah lebih menyayanginya apabila meninggal dunia pada 2 November lalu iaitu hari ke-10 ditidurkan jam 3.30 pagi," katanya.

Menurutnya, dia dan kakaknya, Erra Liana, 28, berpeluang memandi dan menatap jenazah ibunya buat kali terakhir manakala abang Ezrisyam, 41, serta Ezrul Naim , 32, dapat turun ke liang lahad.

Katanya, mereka bersyukur kerana urusan pengebumian berjalan lancar, namun gagal menahan sebak ketika berada di lapangan terbang dan dalam perjalanan pulang ke tanah air.

"Sebelum tinggalkan Makkah memang sedih, tak kuat rasanya sebab macam tinggalkan mama di situ.

"Bagaimanapun, saya akur dengan takdir. Lagipun, mama pernah cakap kalau ada rezeki, dia mahu meninggal di sana (Tanah Suci)... jadi tertunai hajatnya," katanya.

Katanya, selain teruja ke Tanah Suci, ibunya menunjukkan beberapa petanda sebelum meninggal dunia.

"Sebelum pergi umrah iaitu waktu mengemas pakaian, mama pesan supaya sedekahkan bajunya apabila dia tiada nanti.

"Mama juga minta maaf dan peluk abah pada malam sebelum dia dimasukkan ke hospital, cuma tidak sangka itu petanda mama pergi buat selamanya," katanya.

Berhubung perkongsiannya yang tular di laman sosial, Ezza Izzati berkata, niatnya memuat naik video di TikTok adalah untuk dijadikan kenangan.

"Alhamdulillah, ramai pula yang mendoakan dan sebagai anak, saya ucap terima kasih kepada semua.

"Saya reda...cuma rindu memang berat, malah sehingga kini, saya masih terasa kehilangan mama memandangkan saya anak bongsu, jadi manja dengan mama.

"Dulu, setiap hari dapat peluk dan cium mama sebelum tidur, namun kini semua tinggal memori," katanya yang baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Farmasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor.

KENANGAN terakhir Ezza Izzati bersama bapa dan arwah ibunya. FOTO Ihsan Ezza Izzati Zulkurnain
KENANGAN terakhir Ezza Izzati bersama bapa dan arwah ibunya. FOTO Ihsan Ezza Izzati Zulkurnain

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 7:01 AM