Siti Rohana Idris


Tumpat: Keadaan isteri yang pada asalnya sihat tanpa sebarang penyakit kronik tiba-tiba terlantar menimbulkan tanda tanya bagi Wan Anuar Wan Ibrahim dari Kampung Baru Nelayan, di sini.

Sudah tiga bulan Maimon Othman, 44, kaku tidak bergerak sebaliknya hanya mata saja berkelip menandakan ibu kepada empat cahaya mata itu masih bernafas.

Wan Anuar, 47, berkata, pada asalnya, isterinya hanya mengalami semput dan dibawa ke Hospital Kelaboran, di sini sebelum diberi rawatan menggunakan mesin nebulizer (sedut gas) namun masih gagal meredakan sesak nafasnya.

"Isteri kemudiannya diberi suntikan ubat dan tidak lama kemudian dia seakan kejang. Saya dimaklumkan degupan jantungnya berhenti seketika sebelum segera dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu menaiki ambulans.

"Di dalam kenderaan itu jantung isteri sekali lagi terhenti dan sebaik tiba di HRPZ II, dia terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dirawat di sana selama lebih sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Wan Anuar berkata, ketika menerima rawatan di ICU, jantung isterinya sekali lagi kritikal sebelum kembali normal dan sehingga kini dia tidak pasti apa punca yang menyebabkan Maimon menjadi begitu.

Dia berhenti kerja sebagai pemandu lori bagi menguruskan isterinya kerana dua anak baru saja memulakan kerja manakala dua lagi yang berusia 7 serta 15 tahun masih bersekolah.

"Saya tidak boleh meninggalkan isteri bersendirian kerana selain kerap kejang otot, Maimon juga perlu disedut kahak dan jika lambat berbuat demikian, dibimbangi akan memudaratkannya.

"Sebab itu saya terpaksa meninggalkan kerja sebagai pemandu lori yang selama ini menjadi sumber pendapatan kami sekeluarga kerana perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada isteri," katanya sambil memberitahu doktor tidak dapat memberi jaminan bahawa isterinya akan kembali pulih.

Wan Anuar berkata, wang simpanan sudah habis digunakan untuk perbelanjaan harian, persekolahan anak, kos ubat dan susu serta lampin pakai buang isterinya, termasuk membayar sewa rumah sebanyak RM150 sebulan.

Menurutnya, dia masih 'berhutang' dengan pihak hospital kira-kira RM7,000 untuk kos rawatan isteri dan buntu memikirkan bagaimana caranya melunaskan bayaran itu.

"Anak sulung dan kedua baru saja mula bekerja dan gaji mereka pun tidak seberapa. Apa yang merisaukan saya jika kami tidak mampu sediakan susu khas yang agak mahal namun saya akan cuba ikhtiar sebaik mungkin," katanya sambil memberitahu sedang menunggu jawapan permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terdahulu mereka menerima kunjungan dari wakil badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang turut memberikan katil wakaf untuk kegunaan Maimon.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Wan Anuar di talian 0194097110.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 12:46 PM
WAN Anuar menyedut kahak Maimon yang terlantar secara tiba-tiba sejak tiga bulan lalu dengan menggunakan mesin. FOTO Siti Rohana Idris
WAN Anuar menyedut kahak Maimon yang terlantar secara tiba-tiba sejak tiga bulan lalu dengan menggunakan mesin. FOTO Siti Rohana Idris