MIMBAR Masjid Jamek Batu Uban yang masih kekal sehingga kini, meskipun masjid berkenaan dibina 287 tahun lalu.
MIMBAR Masjid Jamek Batu Uban yang masih kekal sehingga kini, meskipun masjid berkenaan dibina 287 tahun lalu.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Walaupun dikelilingi pembangunan pesat Georgetown, Masjid Jamek Batu Uban di Kampung Batu Uban, Gelugor di sini, yang dibina pada 1734 masih kekal terpelihara.

Merentasi kisah sejarah yang panjang, masjid yang dibina Haji Mohammed Saleh atau nama sebenarnya Maharaja Nan Intan Ibni Al Marhum Tunku Patih Nan Sebatang itu turut menjadi saksi kedatangan Islam ke Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid, Sk Abd Aziz Sk Mohamad, 69, berkata, Mohammed Saleh atau nama panggilannya Nakhoda Nan Intan dari Pagar Ruyong, Sumatera singgah ke Pulau Pinang yang pada waktu itu dikenali sebagai Pulau Kesatu.

Pada mulanya, Mohammed Saleh menemukan mata air berhampiran pantai lalu membuka kawasan itu sebagai tempat ibadat dan penempatan.

Sk Abd Aziz yang juga waris bergenerasi Mohammed Saleh berkata, terdapat dua mata air yang dijadikan telaga sedalam kira-kira 2.43 meter (lapan kaki) bagi kegunaan penduduk mengambil wuduk dan mandi.

"Mata air itu terletak hanya beberapa meter dari pantai namun rasa airnya tetap tawar serta tidak bercampur dengan air laut.

"Malah, airnya tidak pernah kering sehingga kini walaupun ketika kemarau," katanya.

MATA air berhampiran pantai yang ditemukan  pada 1734  sehingga kini airnya tidak pernah kering.
MATA air berhampiran pantai yang ditemukan pada 1734 sehingga kini airnya tidak pernah kering.

Berikutan itu, Mohammed Saleh kemudian membuka surau berbentuk segi empat serong menggunakan kayu cendana dengan dindingnya diperbuat daripada campuran tanah liat di atas hamparan batu yang dipanggil ban.

Terdapat pelbagai versi mengenai nama asal Batu Uban dan pembinaan surau di atas hamparan batu di atas ban itu juga antara salah satunya.

Namun asal-usul Batu Uban yang tercatat dalam sejarah ialah sebagai Oban, Ooban dan Batoo Oban, sempena sebuah batu besar menyerupai kepala manusia beruban di tengah laut antara masjid dan Pulau Jerejak.

Menurutnya, mengikut rekaan asal, terdapat empat tiang utama yang diperbuat daripada kayu cendana dan struktur besi mampat berfungsi sebagai pemisah ruang di bahagian dalam masjid.

Difahamkan bahagian mimbar yang diperbuat daripada kayu cendana itu disapu putih telur bagi menjadikan struktur berkenaan tahan lama.

PUSARA  Haji Mohammed Saleh bersama cucunya masih dikekalkan kedudukannya berhampiran masjid.
PUSARA Haji Mohammed Saleh bersama cucunya masih dikekalkan kedudukannya berhampiran masjid.

"Pada asalnya, surau itu berbumbung tinggi, ia menyerlahkan ciri Minangkabau sehinggalah ia menjalani proses baik pulih beberapa kali sejak 1964, maka bumbungnya ditukar mengikut kesesuaian dan keselamatan.

"Semuanya masih boleh dilihat sehingga sekarang, begitu juga puncak kubah surau yang dikekalkan pada masjid kini," katanya.

Tidak lama kemudian, surau itu terus berfungsi sebagai pusat perkembangan dakwah sekali gus menyaksikan perkembangan Islam di negeri ini.

Kata Sk Abd Aziz, ia berkembang sebagai sebuah masjid seiring dengan kedudukan Batu Uban yang menjadi persinggahan pedagang, pengembara serta mubaligh Islam dari India, Pakistan dan Timur Tengah.

Di kawasan sekitar surau pada ketika itu banyak ditanam bunga cengkih dan buah pala yang menjadi sebahagian daripada aktiviti perdagangan masyarakat.

Terdapat beberapa barangan lama yang masih ada iaitu tinggalan naskhah al-Quran dan pihaknya merancang supaya ia dipamerkan di sudut galeri yang akan dibina di masjid berkenaan.

"Pada bahagian luar masjid, ada kesan pusara Mohammed Saleh bersama cucunya masih dikekalkan kedudukannya namun usaha bagi memindahkan dan memulihara pusara itu masih dalam peringkat rancangan.

"Keseluruhan masjid berkenaan mampu memuatkan sehingga 600 jemaah pada satu-satu masa," katanya.

Sejarah berkenaan turut dikaitkan dengan Francis Light yang dikatakan membuka Pulau Pinang pada 1786, iaitu 52 tahun selepas kedatangan Mohammed Saleh.

Kini, beberapa pihak dan agensi termasuk pengkaji sejarah serta institusi pengajian tinggi masih giat melakukan usaha mencari kesan tinggalan pembukaan Pulau Pinang berpandukan kewujudan Masjid Jamek Batu Uban.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 9:23 AM